CYBERJAYA: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail (TMJ), disahkan antara individu yang menyalurkan maklumat penting kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam Op Sohor, operasi khas yang menahan lima pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dipercayai bersekongkol dengan sindiket penyeludupan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata maklumat hasil jaringan TMJ amat membantu siasatan, terutama dalam usaha membanteras kegiatan penyeludupan di perairan selatan tanah air.
“Tunku Mahkota Ismail banyak menyalurkan maklumat berhubung kegiatan sindiket ini. Baginda amat serius mahu aktiviti penyeludupan dibanteras, khususnya di kawasan selatan negara,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Konvensyen Mahasiswa Antirasuah (KOMAWAR) Ke-5 di Universiti Multimedia, hari ini.
Rabu lalu, SPRM menahan 10 individu menerusi Op Sohor, termasuk lima pegawai kanan ATM, dua pengamal media sosial, seorang pengurus syarikat, seorang pembantu pentadbiran di Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) serta seorang wanita warga asing.
Siasatan mendapati, pegawai kanan perisikan tentera itu dipercayai membocorkan maklumat operasi ketenteraan kepada sindiket bagi mengelak daripada diserbu pihak berkuasa.
Sindiket terbabit dipercayai menyeludup dadah, rokok dan barangan lain dari negara jiran, dengan nilai keseluruhan dianggarkan sekitar RM5 juta sebulan.
Lebih mengejutkan, hasil risikan selama setahun mendedahkan sindiket itu dikatakan membayar antara RM30,000 hingga RM50,000 kepada pegawai tentera terbabit bagi setiap penghantaran masuk barangan seludup.
Mengulas lanjut, Azam berkata, setakat ini tiada tangkapan baharu dilakukan, namun tidak menolak kemungkinan lebih ramai akan dipanggil jika terdapat bukti tambahan, termasuk kes berkaitan pengubahan wang haram.
“Jika ada pihak lain yang terbukti mendapat manfaat daripada kegiatan ini, kita tidak akan teragak-agak untuk membuka siasatan lanjut,” tegasnya.