KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan tiga selebriti yang disiasat berkait Op Sky didapati tidak terlibat menguruskan sebarang kegiatan milik syarikat perunding kewangan yang didakwa terbabit dalam kes rasuah dan pengubahan wang haram.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) mendapati mereka hanya menerima bayaran bagi perkhidmatan yang diberikan termasuk peranan sebagai duta syarikat terbabit.
Beliau berkata, kesemua selebriti itu; pelakon veteran, Datuk Jalaluddin Hassan; Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dan penyanyi, Ziana Zain dipanggil untuk menjadi saksi bagi membantu siasatan Op Sky.
Terdahulu pada 6 Feb lalu, SPRM merakam keterangan ketiga-tiga mereka yang dikaitkan dengan syarikat perunding kewangan berkenaan selepas disyaki menerima wang bayaran hingga RM400,000 untuk tempoh satu hingga dua tahun sebagai duta syarikat itu bagi tujuan promosi.
Dalam operasi Op Sky Januari lepas, SPRM menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram yang membabitkan syarikat perunding kewangan serta pegawai bank di beberapa institusi kewangan.
Setakat ini, 39 individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan.