KUALA LUMPUR, (BERNAMA) – Pelaksanaan Op Selamat pada musim perayaan bukan untuk mengganggu pengguna jalan raya tetapi bagi melancarkan lalu lintas dan mengurangkan kes kemalangan, kata Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kassim Karim.
Mat Kassim berkata, bagi Op Selamat 19 sempena Tahun Baharu Cina yang berkuat kuasa mulai 18 hingga 27 Jan ini, ia tertumpu di kawasan panas yang dijangka berlaku kesesakan akibat pergerakan orang ramai pulang ke kampung dan kembali semula selepas tamat musim perayaan nanti.
“Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan ditempatkan di lokasi-lokasi yang telah dikenal pasti bagi tujuan bantuan dan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kenyataan berkenaan merujuk kepada artikel Minda Pengarang bertajuk “JPJ, Polis jangan ‘ganggu’ perjalanan musim raya” oleh sebuah akhbar tempatan semalam yang melaporkan tindakan penguatkuasaan semasa cuti Tahun Baharu Cina akan mengganggu perjalanan pengguna jalan raya.
Menurut Mat Kassim seluruh jentera PDRM melibatkan anggota balai, kereta peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) akan diatur gerak secara holistik dan sistematik bagi mengurangkan beban kesesakan di lebuh raya, jalan-jalan negeri serta perbandaran.
“Pengguna jalan raya diminta memainkan peranan sebagai pengguna yang berhemah dan mematuhi segala peraturan lalu lintas dengan tidak memotong barisan, menyalahgunakan lorong kecemasan atau meletakkan kenderaan sehingga menghalang laluan.
“Kerjasama orang ramai sepanjang tempoh operasi ini akan memastikan keselesaan buat pengguna jalan raya dan memastikan kelancaran aliran trafik,” katanya.