Op Noda: 91 GRO Ditangkap, Termasuk Enam Pondan

KUALA LUMPUR: Seramai 91 individu, termasuk enam lelaki berwatakan wanita, yang disyaki bekerja sebagai Pelayan Pelanggan (GRO) di sebuah pusat hiburan di Taman Tampoi Indah, Johor Bahru, Johor diberkas polis pada Khamis lalu.

Kesemua mereka dicekup menerusi serbuan Op Noda yang dijalankan pegawai dan anggota Bahagian D7 (Pencegahan Judi, Maksiat dan Gangsterism) JSJ Bukit Aman pada jam 12.44 tengah malam.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman (Siasatan dan Perundangan), Deputi Komisioner Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, daripada 91 individu yang ditahan itu, seramai 82 orang adalah warga Thailand, dua wanita warga Laos serta seorang wanita Vietnam berusia antara 19 hingga 51 tahun.

“Polis juga menerusi pemeriksaan lanjut di dalam premis itu berjaya menangkap tiga lelaki tempatan yang bekerja sebagai pengurus, pembantu pengurus dan juruwang serta lima lelaki warga Bangladesh berusia antara 21 hingga 45 tahun yang berkhidmat sebagai pelayan di premis itu,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Sementara, Rusdi memberitahu, pasukan D7 juga melakukan pemeriksaan terhadap 69 pelanggan yang berada di dalam pusat hiburan itu yang terdiri daripada 48 lelaki tempatan, 10 warga Singapura termasuk dua wanita, lima lelaki warga Thailand, dua lelaki warga China, dan dua wanita tempatan.

“Siasatan mendapati pusat hiburan berkenaan terletak di kawasan rumah kedai empat tingkat yang beroperasi bermula dari jam 8 malam hingga 4 pagi setiap hari.

“Pusat hiburan ini menjalankan perniagaan yang berkonsepkan pusat hiburan, kugiran serta kalungan bunga,” ujar beliau.

Rusdi berkata, siasatan polis mendapati terdapat dua bilik karaoke di bahagian atas yang dikenakan bayaran sebanyak RM3,000 bagi setiap bilik.

Katanya, pusat hiburan sama turut menyediakan khidmat GRO dengan bayaran bermula dari RM 100 hingga maksimum RM30,000 bagi setiap kalungan kepada pelanggan.

“Semakan susulan oleh pasukan kami juga mendapati semua suspek yang berkhidmat sebagai GRO pusat hiburan itu tidak mempunyai sebarang permit kerja yang sah di sisi undang-undang.

“Kesemua mereka ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6(1)(C) akta sama, Peraturan 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Johor (ENJ) 4/98,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles