Onn Hafiz Ganti Hasni Sebagai MB Johor?

JOHOR BAHRU: Spekulasi siapa yang bakal dilantik sebagai Menteri Besar Johor semakin bertebaran dengan nama bekas Exco Pelancongan, Belia dan Sukan Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mula disebut-sebut menggalas jawatan berkenaan.

Onn Hafiz menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kelmarin.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Onn Hafiz menang di kerusi DUN Layang-Layang.

Memetik sumber BN, ura-ura Onn Hafiz mahu diangkat menjadi Menteri Besar Johor sudah mula kedengaran sejak menjelang PRN Johor lagi.

“Namun ia reda sebentar di sebalik kebimbangan sesetengah pemimpin BN ketika kempen, sama ada parti mampu memenangi kerusi mencukupi bagi menubuhkan kerajaan negeri, berikutan kempen Perikatan Nasional (PN) yang sangat agresif.

“Bagaimanapun, apabila BN akhirnya berjaya dengan kejayaan cemerlang meraih 40 kerusi, khabar angin itu (Onn Hafiz jadi MB) bertiup kencang semula dan semakin kuat hari ini.

“Melihat situasi semasa yang menyaksikan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dititah menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dan kenyataan terbaharu Datuk Seri Hasni, seolah-olah sudah ada kompromi untuk memberi laluan kepada Onn Hafiz dilantik sebagai Menteri Besar ke-19,” kata sumber.

Dalam satu kenyataan media petang tadi, Hasni yang juga Pengerusi BN dan UMNO Johor dilapor mencadangkan pucuk pimpinan parti memilih orang muda untuk memimpin Johor yang disifatkannya mampu memberikan idea dan sumbangan bermakna dalam pembangunan Johor.

“Melihat kepada sokongan dan kedudukan orang muda yang penting dalam pembangunan Johor dan demi kemakmuran negeri yang berpanjangan, saya mencadangkan pucuk pimpinan parti memilih orang muda untuk memimpin negeri,” kata Hasni.

Sebelum ini, Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, Hasni akan menjadi calon tunggal dikemukakan kepada Sultan Ibrahim untuk pertimbangan dilantik sebagai Menteri Besar.

Untuk rekod, Onn Hafiz merupakan anak saudara kepada Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang juga Menteri Kanan Pertahanan.

BBerkaitan

Latest articles