Anak Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Nurul Hidayah dan suaminya, Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff akan dituduh di mahkamah kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata pihaknya sudah mendapat arahan dari pihak Jabatan Peguam Negara untuk menuduh kedua-duanya dalam masa terdekat.
“Satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) JSJ Bukit Aman dan kedua-duanya telah diambil keterangan pada 24 April lalu.
“Siasatan mendapati Datuk Nurul Hidayah telah memuat naik gambar di Instagram dengan beberapa kapsyen tentang pertemuannya dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri serta Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Ahmad Masrizal Muhammad,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Susulan itu katanya, kertas siasatan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara dan pihaknya sudah mendapat arahan untuk menuduh kedua-duanya mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No.3) 2020 dalam masa terdekat.
Sehubungan itu, katanya orang ramai dinasihatkan supaya tidak cuba menimbulkan kegusaran dan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat seolah-olah Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak mengambil tindakan ke atas dakwaan pelanggaran itu.
“PDRM ingin menegaskan sekali lagi bahawa tiada sesiapa pun yang akan terlepas daripada sebarang tindakan sekiranya didapati dengan sengaja melanggar apa juga undang-undang negara,” tegas Huzir.