Nurul Izzah Tegaskan Agenda Reformasi Masih Hidup, Perlu Diteruskan

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar menegaskan bahawa agenda reformasi yang diperjuangkan oleh bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sejak penubuhan PKR 26 tahun lalu masih belum terkubur.

Dalam sesi podcast Borak Harini bersama Berita Harian, Nurul Izzah yang dikenali dengan gelaran ‘Puteri Reformasi’ mengakui bahawa perjuangan tersebut sering menjadi bahan sindiran, termasuk gelaran sinis seperti ‘reformati’ dan ‘reforbasi’.

Namun, beliau menegaskan bahawa perjuangan itu masih relevan dan perlu diteruskan dengan keberanian dan semangat berpasukan.

“Memang benar ada yang mengkritik agenda reformasi oleh PKR. Tapi itu sesuatu yang penting untuk kita persoalkan secara terbuka dan kritikal. Kita perlu fikir cara memperbaiki, bukan menolak,” katanya.

Tambah beliau, agenda reformasi bukanlah suatu proses yang mudah dan memerlukan masa serta iltizam yang konsisten dalam kalangan ahli parti.

“Setiap generasi akan ada perjuangan dan cabarannya tersendiri. Kita tak boleh kata agenda reformasi ini sudah terkubur. Ia harus terus dihidupkan melalui tindakan dan keputusan yang kita ambil,” jelas bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

Nurul Izzah turut menekankan bahawa tiada jalan pintas dalam merealisasikan reformasi yang sebenar.

Sebaliknya, beliau menyeru semua pihak dalam PKR untuk memegang teguh prinsip perjuangan dan meneruskan usaha ke arah membentuk sistem yang lebih adil dan telus.

“Saya berharap kita semua menjadi pelengkap kepada proses ini. Dalam hidup, kita cuma ada satu peluang. Kalau ikutkan, semua orang nak jalan mudah. Tapi apabila melihat saudara kita berdepan kesusahan dan ketidakadilan, kita perlu berani melawan,” katanya lagi.

PKR yang ditubuhkan pada tahun 1999, muncul sebagai salah satu simbol perjuangan menentang ketidakadilan sistemik dan kini menjadi parti tunjang dalam kerajaan perpaduan pimpinan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10.

BBerkaitan

Latest articles