Nurul Izzah Nafi Guna Kemudahan Istimewa Tunai Haji, Guna Wang Simpanan Sendiri

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar tampil menafikan dakwaan kononnya beliau dan suami menggunakan kemudahan istimewa atau dana awam untuk menunaikan ibadah haji di Tanah Suci.

Menerusi satu hantaran di Facebook hari ini, Nurul Izzah menjelaskan bahawa mereka menunaikan ibadah tersebut dengan menggunakan wang simpanan sendiri serta menaiki penerbangan komersial.

“Tiada jet peribadi seperti yang difitnah. Perjalanan kami sama seperti jutaan jemaah haji yang lain. Urusan logistik seperti tempat tinggal dan pengangkutan disediakan agensi pelancongan berlesen, Mimm Travel,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa mereka berdua menerima visa mujamalah, iaitu visa jemputan khas yang dikeluarkan kerajaan Arab Saudi kepada tetamu tertentu setiap musim haji.

Nurul Izzah berkata penjelasan dibuat susulan pelbagai hantaran dan mesej yang menyebarkan dakwaan tidak berasas berkaitan perjalanan hajinya.

“Apabila sesuatu yang tidak benar tersebar jauh daripada hakikat sebenar, ia perlu diperbetulkan,” ujarnya.

Beliau juga berkongsi pengalaman bermakna ketika berada di Madinah, termasuk menghadiri sesi ilmu bersama tokoh terkenal seperti Sheikh Dr Omar Suleiman dan Dr Tahir Wyatt.

“Paling menyentuh hati, saya dan suami berpeluang melaksanakan ibadah haji bersama, khususnya di Arafah – tempat turunnya ayat ke-3 Surah Al-Maidah yang menyempurnakan agama ini,” katanya.

Nurul Izzah menyeru agar amalan ibadah tidak dijadikan bahan tohmahan dalam perbezaan pandangan politik.

“Dalam kita bertarung di medan politik, jangan sampai ibadah dijadikan bahan fitnah. Biarlah kita saling mendoakan agar lebih ramai umat Islam diberi rezeki dan peluang menjadi tetamu-Nya,” katanya lagi.

BBerkaitan

Latest articles