More

    Nurul Izzah Kekal Di Permatang Pauh, Husam Di Pasir Mas, Johari Abdul Dan Sivarasa Antara Digugurkan

    AMPANG: Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar terus diberikan kepercayaan untuk mengemudikan Parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Sebelum ini Nurul Izzah dikhabarkan akan bertanding di Ampang.

    Nama Nurul Izzah dan kerusi bakal ditandinginya diumumkan pada majlis pengumuman calon PKR yang berlangsung di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), malam tadi.

    Sementara itu bekas Naib Presiden PAS dan Amanah, Datuk Husam Musa akan bertanding di kerusi Parlimen Pasir Mas.

    Beberapa nama juga turut digugurkan dalam senarai calon PRU15 kali ini.

    Antaranya penyandang kerusi Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul, dimana kerusi itu akan dipertanggungjawabkan kepada pelapis PKR yang juga anaknya sendiri, Dr Mohamed Taufiq Johari, 26.

    Begitu juga dengan Maria Chin Abdullah yang sebelum ini menang di Parlimen Petaling Jaya.

    Malah R Sivarasa juga turut digugurkan daripada kerusi Parlimen Sungai Buloh, dimana kerusi itu akan ditandingi Timbalan Ketua Penerangan PKR, Datuk R Ramanan.

    Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada majlis pengumuman calon itu turut mengingatkan mana-mana pemimpin yang tidak dinamakan untuk bertanding kali ini supaya ingat perjuangan asal PKR dan jangan khianat dengan parti.

    “Dalam proses pemilihan itu, ada yang terpaksa kita gugurkan, terutama beberapanya yang sudah memberi sumbangan. Demikianlah hukum alam, mesti ada peralihan.

    “Tidak boleh orang sama kekal (bertanding) sampai bila-bila. Yang tidak mendapat tempat, ingat sumpah keramat kita. Kita berjuang bukan kerana mahu menjadi calon, tapi membela nasib rakyat,” katanya.

    Berita Berkaitan

    Berita Terkini