Nurul Izzah Kecam Pelantikan Semula Azam Baki

KUALA LUMPUR: Calon Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, secara terbuka menyuarakan ketidaksetujuannya terhadap pelantikan semula Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk penggal ketiga.

Dalam satu kenyataan di platform media sosial X, Nurul Izzah menyifatkan keputusan itu sebagai “tidak dialu-alukan” dan menekankan bahawa pemanjangan kontrak sedemikian hanya menyukarkan usaha melakukan reformasi institusi.

“Pemanjangan kontrak sebegini menyukarkan perubahan mendasar berlaku,” tulisnya, merujuk kepada usaha membina budaya baharu dan lebih telus dalam institusi penting negara seperti SPRM.

Beliau juga menyeru semua pihak termasuk penjawat awam, pemimpin politik dan anggota parti agar berani mengambil langkah lebih progresif demi masa depan pentadbiran negara.

“Kita memerlukan keberanian penjawat awam, pimpinan serta anggota parti dan lainnya untuk memastikan kita punyai kekuatan iltizam untuk membuat pilihan baru,” katanya.

Pelantikan semula Azam Baki, 62, bagi tempoh 13 Mei 2025 hingga 12 Mei 2026 diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, dalam kenyataan ringkas minggu ini.

Ini merupakan kali ketiga beliau dilanjutkan tempoh perkhidmatan selepas dua pelantikan semula sebelum ini bagi tempoh setahun setiap kali.

Azam mula memegang jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac 2020, menggantikan Latheefa Koya yang melepaskan jawatan atas kehendak sendiri.

BBerkaitan

Latest articles