KUALA LUMPUR: Pengasas bersama dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, disenaraikan antara 30 individu berpengaruh dalam ‘Project Syndicate Forward Thinkers List’.
Project Syndicate iaitu organisasi media global bukan berasaskan keuntungan menerusi laman web mereka memaklumkan, senarai itu bertujuan mengiktiraf dan mengetengahkan golongan intelektual yang semakin menyerlah dalam bidang akademik, penggubalan dasar, masyarakat sivil dan sektor swasta.
“Individu-individu itu terbabit dalam pelbagai isu penting daripada perubahan iklim dan geopolitik sehingga berkait demokrasi liberal dan masa depan kapitalisme.
“Setiap peserta terdiri pemimpin dalam bidang masing-masing, dan kami percaya pandangan mereka bukan sekadar membentuk wacana awam di negara masing-masing, malah turut memberi impak besar di peringkat global pada masa akan datang,” menurut organisasi media itu.
Profesor Ekonomi Universiti Yale, Marina Halac; Profesor Ekonomi Universiti Harvard, Oleg Itskhoki; dan Profesor Dasar Awam dan Kerajaan Universiti Oxford, Yeling Tan turut tersenarai.
Menurut organisasi media itu, pemilihan akhir dibuat dengan teliti oleh editor, bertujuan mengetengahkan individu yang diyakini berupaya membantu membentuk dan mencetuskan pemikiran kritis dalam debat politik.
Ditubuhkan pada awal 1990-an, Project Syndicate menyedia dan mengedarkan ulasan serta analisis mengenai pelbagai isu antarabangsa.
Pada 2024, ulasan Project Syndicate telah diterbitkan sebanyak 16,904 kali di seluruh dunia. – BERNAMA