KUALA LUMPUR: Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang dilaporkan hilang sejak 29 Disember lalu ditemukan selamat di Cheras, pada kira-kira jam 11.15 malam semalam.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman, berkata remaja berkenaan, Nurul Fateha Nabila Mohd Zailani dijumpai di sebuah restoran di Batu 9, Cheras dan sepanjang kehilangan, remaja itu berada di rumah rakannya.
Beliau berkata, penemuan Nurul Fateha Nabila dimaklumkan kepada pengadu iaitu ibu saudaranya dan sudah diserahkan kepada ibu bapa remaja itu dalam keadaan baik.
Pada 4 Januari lalu, media melaporkan polis sedang mengesan remaja itu susulan laporan dibuat ibu saudaranya pada 31 Disember lalu.
Dilaporkan remaja itu menetap di Kampung Sungai Merab Luar, Kajang, dan tinggal bersama pengadu sejak Februari tahun lalu.
Sebelum menghilangkan diri, remaja itu berkurung dalam bilik di rumahnya kerana berlaku selisih faham keluarga. – BERNAMA