Nurul Amal Bertanding Jawatan Ketua Puteri UMNO

Naib Ketua Puteri Umno Nurul Amal Mohd Fauzi menawarkan diri bertanding jawatan ketua pergerakan itu pada pemilihan parti 18 Mac ini.

Katanya keputusan untuk bertanding dibuat atas kehendak diri sendiri dan demi sayangkan parti berkenaan, bukannya didorong oleh mana-mana pihak.

“Kita meraikan demokrasi dan saya mengharapkan semua calon pun begitu.

“Apa yang penting kita mempertahankan perlembagaan parti dan institusi presiden kerana ia ialah paksi sesebuah parti itu.

“Saya rasa dalam pemilihan kali ini ramai yang masih sayangkan parti dan semestinya saya sebagai ahli parti dan kaib ketua Puteri Umno mengharapkan yang terbaik agar legasi Puteri Umno menjadi lebih baik,” katanya ketika ditemui selepas menghantar borang pencalonan hari ini.

Menurut Nurul Amal, setiap calon mempunyai kelebihan masing-masing dan terserah kepada perwakilan untuk memilih siapa yang layak untuk menerajui pucuk pimpinan Puteri Umno.

Dia merupakan calon terakhir yang menghantar borang bagi jawatan ketua Puteri Umno. Ia sekali gus bakal menyaksikan pertandingan enam penjuru untuk sayap tersebut, termasuk ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Khaidirah Abu Zahar.

Pemilihan Umno diadakan mulai 1 Feb lalu sehingga 18 Mac ini dengan persidangan tahunan cawangan dan pemilihan jawatankuasa cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri bermula pada 1 hingga 26 Feb.

Mesyuarat perwakilan dan pemilihan jawatankuasa Wanita, Pemuda dan Puteri di peringkat bahagian bersama pemilihan exco Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Pusat pula bakal diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac.

Mesyuarat perwakilan dan pemilihan jawatankuasa Umno bahagian bersama pemilihan MKT pula akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac.

Bernama

BBerkaitan

Latest articles