Nurin Hannani Selamat Ditemui Selepas Hilang 4 Hari

HIROSHIMA: Seorang pelajar wanita Malaysia yang dilaporkan hilang di Hiroshima, Jepun telah ditemukan dalam keadaan selamat dan kini berada di Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo.

Perkhabaran itu dikongsikan Malaysian Students’ Association in Japan (MSAJ) yang memaklumkan keadaan terkini Nurin Hannani Hafizi, 21, penuntut di Kure Kosen, menerusi hantaran di laman Facebook rasminya pada Khamis.

Berita gembira itu turut dikongsi oleh organisasi dakwah rakyat Malaysia di Jepun, IMAN Jepun.

“Kami menerima maklumat daripada Kedutaan Malaysia bahawa Hannani telah ditemukan dengan selamat. Alhamdulillah, terima kasih kepada semua atas kerjasama, sokongan dan doa yang diberikan. Usaha dan kebaikan anda amat bermakna,” menurut kenyataan IMAN Jepun di Facebook.

Sementara itu, ibu Nurin Hannani, Noor Afzan Abdul Razak, meluahkan rasa syukur setelah menerima berita bahawa anak sulungnya telah ditemukan selepas empat hari dilaporkan hilang.

Memetik BH Online, beliau dimaklumkan bahawa anaknya ditemui dalam keadaan keliru.

Beliau bagaimanapun belum berkesempatan untuk menghubungi anaknya dan memberi masa kepada Nurin Hannani untuk bertenang, sementara menyerahkan segala urusan kepada Kedutaan Malaysia di Jepun.

Difahamkan, pelajar tersebut dipercayai meninggalkan kampus pada tengah hari Isnin lalu dan gagal dihubungi selepas itu.

Kehilangannya mencetuskan usaha pencarian melibatkan pelbagai pihak, termasuk Kedutaan Malaysia serta Imigresen Jepun.

BBerkaitan

Latest articles