Nori Terharu Dengan Ingatan, Penghormatan Terhadap Allahyarham Pak Lah

KUALA LUMPUR: Nori Abdullah menghargai penghormatan yang diberikan pelbagai pihak terhadap bapanya, Allayarham Tun Abdullah Ahmad Badawi sehingga selamat disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara petang tadi.

Mengakui masih sedih dan terkesan dengan pemergian bapanya, isteri kepada bekas menteri kabinet, Khairy Jamaluddin itu turut meluahkan rasa syukur dengan sokongan dan ingatan semua pihak kepada Allahyarham.

“Saya rasa pilu dan sedih tetapi bersyukur juga kerana melihat kepada penghormatan dia dan ingatan daripada semua pihak.

“Kami sekeluarga bersyukur dan Alhamdulillah segalanya, beliau pun telah pulang ke rahmatullah dan kita reda dengan ketentuan Allah dan proses (pengebumian) juga cepat dan Insya-Allah beliau akan terus diingati,” katanya kepada media selepas Abdullah Ahmad selamat disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara pada 2.30 petang tadi.

Terdahulu, bekas Perdana Menteri kelima itu dikebumikan mengikut Istiadat Pengebumian Negara.

Soolat jenazah, tahlil serta bacaan talkin dipimpin Imam Besar Masjid Negara Ehsan Mohd Hosni.

Selain Nori dan Khairy, turut berada di Makam Pahlawan ialah balu Allahyarham, Tun Jeanne Abdullah dan abang Nori, Tan Sri Kamaluddin dan beberapa ahli keluarga terdekat.

Turut berada di Makam Pahlawan ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta pemimpin lain.

Abdullah meninggal dunia pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) pada 7.10 malam tadi.

BBerkaitan

Latest articles