Nooryana Mohon Sokongan Rakyat Demi Keadilan Najib

KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang mengekalkan keputusan membebaskan Datuk Seri Najib Razak daripada tuduhan meminda laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bukan petanda perjuangan terhadap bekas Perdana Menteri itu telah berakhir.

Nooryana Najwa Najib seterusnya meminta sokongan dan doa rakyat buat bapanya supaya mendapat keadilan bagi kes lain yang sedang dihadapi.

“Ya, hari ini DSN telah dibebaskan mahkamah daripada tuduhan pindaan laporan audit 1MDB.

“Perjuangan menegakkan keadilan untuk bossku belum selesai, dan perlu tabah menghadapi empat lagi kes.

“Di masa ini, bossku masih berada di Kajang mendoakan keadilan buat dirinya. Please. Tolong sama-sama doakan untuk DSN. Semoga semua urusan dipermudahkan dan akan ada keadilan buat dirinya,” katanya dalam satu perkongsian di media sosial.

Nooryana juga mengakui Najib menerima kritikan dan dilempar pelbagai kata-kata tidak elok daripada pelbagai pihak selama lima tahun akibat kes berkenaan.

Begitu juga dengan propaganda negatif yanh sengaja direka kononnya Najib telah meminda laporan audit untuk menyorok kebenaran 1MDB selain terpaksa menanggung kos guaman.

Sedangkan menurut Nooryana, semasa perbicaraan, saksi-saksi pendakwaan yang dipanggil menunjukkan bahawa pindaan yang dibuat ke atas laporan audit adalah pindaan yang tidak penting, remeh dan kecil.

Bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang juga menegaskan bahawa beliau menjalankan tugasnya tanpa menerima sebarang tekanan mahupun arahan daripada mana-mana pihak termasuk Najib.

Terdahulu, Mahkamah Rayuan pada hari ini membatalkan dua notis rayuan pendakwaan selepas gagal memfailkan petisyen rayuan dalam tempoh yang ditetapkan.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail.

Tarikh akhir bagi pendakwaan memfailkan petisyen rayuan ialah dalam tempoh 14 hari selepas rekod rayuan diperoleh, iaitu pada 6 Julai lalu.

BBerkaitan

Latest articles