Noh: Perlembagaan ‘Terlepas Pandang’, Perlu Pinda Jawatan PM Untuk Orang Melayu

KUALA LUMPUR: Bekas menteri, Tan Sri Noh Omar mencadangkan agar Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi menetapkan jawatan perdana menteri hanya boleh disandang oleh orang Melayu beragama Islam.

Menurutnya, walaupun Perlembagaan memperuntukkan hak orang Melayu serta kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, tiada peruntukan khusus yang mensyaratkan latar belakang perdana menteri, sesuatu yang disifatkannya mungkin terlepas pandang ketika penggubalan dokumen tertinggi negara itu.

Berucap pada Konvensyen Melayu 153 di ibu negara, Noh berkata Perlembagaan sedia ada telah menjamin kebebasan beragama dan kepentingan semua kaum, namun soal kepimpinan tertinggi negara tidak diperincikan secara jelas.

Beliau membandingkan keadaan itu dengan Perlembagaan Selangor yang menetapkan jawatan menteri besar mesti disandang oleh Melayu-Islam, demikian seperti dilaporkan Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Noh yang mempengerusikan konvensyen berkenaan menyeru orang Melayu supaya bersatu bagi membolehkan pindaan Perlembagaan tersebut direalisasikan.

Katanya, kesepaduan politik menjadi prasyarat utama sekiranya usaha meminda Perlembagaan mahu dilaksanakan.

Untuk rekod, angka “153” pada nama konvensyen merujuk kepada Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah serta Sarawak, di samping kepentingan sah kaum lain.

Mengikut Perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong berkuasa melantik seorang ahli Dewan Rakyat sebagai perdana menteri yang pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

BBerkaitan

Latest articles