Noh Akui Ada Tawaran Parti Politik Lain, Mahu Jadi Penceramah Bebas

KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar mendakwa sudah tamat cita-cita politik bagi dirinya selepas UMNO bertindak memecat keahliannya.

Noh yang telah bersama UMNO hampir 26 tahun lalu turut mengakui didatangi tawaran untuk menyertai parti politik tertentu.

“Kita pun tak ada cita-cita pun, bagi saya yang penting mana parti yang betul-betul boleh menjadi tempat rakyat berteduh, lebih-lebih lagi yang memperjuangkan hak-hak Melayu ini,” katanya di sidang media di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, hari ini.

Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor itu juga tidak akan mengikut gesaan beberapa pihak supaya kekal setia dengan parti lamanya

“Kenapa nak setia kepada parti (UMNO)? Saya mana ada parti. Ibarat orang sudah kahwin, kita sudah kena cerai, nak setia dengan suami macam mana lagi.

“Kenapa kita pula kena setia dengan parti (UMNO),” katanya lagi.

Noh, dalam pada itu tidak merancang untuk menyertai mana-mana parti politik dalam masa terdekat.

Sebaliknya beliau memberi bayangan untuk menjadi penceramah bebas sekiranya beliau diundang oleh mana-mana pihak untuk berbuat demikian sementara menunggu habis edah (iddah).

“Saya ini masih dalam tempoh edah, kena rehatlah dulu, kita tengok saya tak tahu lagi (berapa lama tempoh). Belum ada apa-apa keputusan, saya nak tengok sama ada saya nak jadi penceramah bebas, mungkin boleh juga.

“Sesiapa nak jemput saya, PKR jemput pun saya boleh datang, Amanah nak jemput, kalau sesuai saya datanglah, kalau sudi jemput saya jadi penceramah bebas buat masa ini,” katanya lagi.

BBerkaitan

Latest articles