Nik Nazmi Tewas Pada Afdlin Shauki Dalam Saingan Ketua PKR Setiawangsa

KUALA LUMPUR: Pelakon, pelawak dan pengarah terkenal, Datuk Afdlin Shauki mencipta kejutan apabila menewaskan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam perebutan jawatan Ketua Cabang PKR Setiawangsa.

Afdlin memperoleh 631 undi, menewaskan Nik Nazmi yang juga Naib Presiden PKR dengan 563 undi dalam pemilihan cabang parti itu hari ini.

Ini merupakan percubaan kedua Afdlin merebut jawatan tersebut selepas tewas kepada Nik Nazmi dalam pemilihan pada tahun 2022.

Afdlin menyertai PKR pada 2021 dan dilihat aktif dalam aktiviti parti sejak itu, manakala Nik Nazmi merupakan Ahli Parlimen Setiawangsa selama dua penggal.

Sementara itu, di Cabang Bukit Bintang, seorang lagi Naib Presiden PKR yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, K Saraswathy gagal mempertahankan kedudukannya apabila tewas dalam pertandingan lima penjuru.

Anwar Pawan Chik meraih undi tertinggi dengan 807 undi, mengatasi Saraswathy (683 undi), G Sivamalar (664), C Kishore Kumar (32), manakala Loh Ker Chean tidak memperoleh undi selepas menarik diri atas faktor kesihatan.

Di Wangsa Maju, penyandang Ketua Cabang, Lai Chen Heng berjaya mempertahankan jawatannya walaupun berdepan cabaran sengit daripada Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan, serta seorang lagi calon, Abdullah Talib.

Lai memperoleh 587 undi, manakala Zahir dan Abdullah masing-masing menerima 495 dan 221 undi.

Terdahulu, cabang Wangsa Maju berdepan dakwaan manipulasi penyata kewangan sebelum pemilihan, namun proses undian diteruskan seperti dijadualkan.

Sementara itu Ketua Penerangan PKR merangkap Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, kekal sebagai Ketua Cabang Lembah Pantai tanpa pencabar.

Turut mengekalkan jawatan tanpa pertandingan ialah Azman Abidin, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, yang kekal sebagai Ketua Cabang Bandar Tun Razak.

Di Cabang Batu, Ahli Parlimen termuda negara, P Prabakaran tewas kepada bekas aktivis pelajar dan peguam, Asheeq Ali. Asheeq meraih 946 undi, menewaskan Prabakaran yang memperoleh 793 undi.

Kempen Prabakaran sebelum ini tercalar susulan penularan video seorang wanita yang mendakwa beliau berjanji mengagihkan wang tunai sebagai ‘token’ kepada pengundi parti.

Bagaimanapun, Prabakaran menafikan tuduhan itu dan menyatakan beliau sedia bekerjasama dengan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) untuk siasatan lanjut.

BBerkaitan

Latest articles