KUALA LUMPUR: Tiga tokoh termasuk Ahli Dewan Negara, Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, dilantik sebagai ahli baharu Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), satu badan penting yang menasihati Perdana Menteri dalam isu integriti dan tadbir urus negara.
Manakala dua lagi individu yang turut dilantik ialah Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan dan Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah.
Pelantikan mereka berkuat kuasa mulai 25 April 2025 hingga 25 April 2028.
Surat pelantikan disampaikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu majlis yang turut disaksikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Menurut kenyataan Anwar, pelantikan ini bertujuan memperkukuh fungsi JKMR sebagai badan semak dan imbang terhadap usaha kerajaan memerangi rasuah.
“JKMR memainkan peranan penting dalam menasihati Perdana Menteri berhubung pelbagai aspek berkaitan isu rasuah serta meneliti Laporan Tahunan SPRM,” katanya.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa pelantikan ini akan meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap komitmen kerajaan dalam memperkukuh integriti pentadbiran awam.
“Ia sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam sistem pentadbiran negara,” tegas beliau.
JKMR merupakan antara lima badan pemantau bebas terhadap SPRM yang ditubuhkan mengikut peruntukan undang-undang, selaras dengan prinsip kebertanggungjawaban dalam pentadbiran awam.