Shah Alam, 30 Oktober 2024 – Selangor FC hari ini mengumumkan peletakan jawatan Ketua Jurulatih mereka, Nidzam Jamil, berkuat kuasa serta-merta. Keputusan ini dibuat atas permohonan Nidzam sendiri untuk mengundurkan diri daripada mengemudi pasukan utama.
Pihak kelab telah menyatakan rasa hormat terhadap keputusan beliau dan mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih atas sumbangan serta dedikasi beliau sepanjang berkhidmat bersama pasukan kata kelab berkenaan dalam satu kenyataan di laman rasmi pasukan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, Di bawah kepimpinan Nidzam Jamil, Selangor FC telah mencapai beberapa kejayaan penting, termasuk menempatkan diri dalam kalangan pasukan teratas liga, menjadi naib juara Piala FA musim ini, serta berjaya mara ke peringkat tinggi dalam Kumpulan H bagi saingan Liga Juara-Juara AFC. Pihak kelab memuji beliau atas usahanya dalam memupuk semangat kompetitif dan kepimpinan yang cemerlang di kalangan pemain.
Buat masa ini, tugas Ketua Jurulatih akan dipikul oleh Abdi Hassan, yang akan bertindak sebagai jurulatih interim sementara pihak kelab mencari pengganti tetap untuk posisi tersebut.
Selangor FC merakamkan penghargaan kepada Nidzam atas komitmen dan segala jasa yang diberikan kepada pasukan, serta mendoakan yang terbaik untuk masa depannya.