Nicky Mengaku Tak Bersalah, Bayar Jamin RM1 Juta Secara Ansuran

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini membenarkan ahli perniagaan, Nicky Liow diikat jamin RM1 juta yang dibayar secara dua kali ansuran, selepas mengaku tidak bersalah terhadap 26 pertuduhan terbabit dalam kegiatan pengubahan wang haram berjumlah RM36 juta.

Nicky atau Liow Soon Hee, 34, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu sejurus dikemukakan terhadapnya dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim, Helina Sulaiman.

Berdasarkan 24 kertas pertuduhan, Nicky yang juga pengarah kepada tiga syarikat iaitu Dream Vision Media Sdn Bhd, Nicky Fashion House Enterprise dan Winner Dynasty Travel & Leisure Sdn Bhd didakwa terbabit secara langsung dalam transaksi wang hasil aktiviti haram.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di Maybank cawangan Bandar Puteri Puchong dan Bandar Ampang, Selangor, antara 2016 hingga 2021.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLAFTA), memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda lima kali ganda, bagi setiap kesalahan.

Sementara itu baki dua lagi kertas pertuduhan, Nicky didakwa memiliki hasil daripada aktiviti haram mengikut Seksyen 4(1)(b) AMLAFTA yang membawa hukuman sama.

Susulan pengakuan tidak bersalah oleh tertuduh, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Zalizan Lazarous, memohon tertuduh dikenakan ikat jamin berjumlah RM3.6 juta dengan syarat ketat.

“Syarat ketat itu ialah tertuduh hendaklah melaporkan diri di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, setiap dua minggu.

“Tertuduh juga perlu dua penjamin dan pasport perlu diserahkan kepada mahkamah,” katanya.

Pihak pendakwaan itu turut disertai Timbalan Pendakwa Raya Rozaliana Zakarian dan Syafinas Shabudin.

Bagaimanapun, peguam bela Nicky, Datuk Rajpal Singh, memohon jumlah jaminan bawah RM1 juta atau RM500,000 dengan alasan anak guamnya tiada potensi untuk melarikan diri.

“Tertuduh membuat janji temu dengan polis dan hadir ke pejabat JSJK Bukit Aman semalam, untuk memberi percakapan. Jika Nicky ada hasrat untuk melarikan diri, dia tidak akan ke pejabat itu.

“Dia akan berhadapan dengan kes ini dan tidak bersalah hingga dibuktikan sedemikian. Sistem pengadilan penting serta dia tidak akan melarikan diri daripada pertuduhan kerana percaya tidak melakukan kesalahan seperti didakwa,” katanya.

Selain Rajpal, tertuduh turut diwakili peguam bela, Jay Moy Wei Jiun dan Mardhiyah Siraj.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM1 juta dengan dua penjamin, selain syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat JSJK Bukit Aman, dua kali sebulan.

“Mahkamah mendengar hujahan dua pihak berkenaan dan membuat pertimbangan sewajarnya. Mahkamah turut memutuskan wang jamin itu dibayar secara dua kali dengan RM500,000 hari ini dan RM500,000 lagi esok,” katanya.

Sebutan semula kes pada 26 Mei depan.

Media melaporkan selepas setahun melarikan diri daripada pihak berkuasa, Nicky akhirnya menyerah diri kepada polis.

Nicky menyerah diri di pejabat JSJK Menara KPJ, Jalan Tun Razak, jam 11 pagi semalam.

BBerkaitan

Latest articles