Nicko Jeep – St John Meterai MOU “Beli Gula-Gula Sambil Menderma”

KUALA LUMPUR – Pengeluar gula-gula terkemuka Malaysia, Nicko Jeep Manufacture Sdn Bhd menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan St John Ambulans Malaysia (SJAM) bagi menjalinkan kerjasama misi ‘Berkhidmat untuk Masyarakat’ dalam kempen beli gula-gula sambil menderma, khususnya ketika bencana dan kecemasan di seluruh negara.

Pengarah Urusan Nicko Jeep Manufacture Sdn. Bhd., Datuk Kenny Low berkata, kempen itu menyasarkan masyarakat membeli gula-gula keluaran khas sempena kerjasama itu, Himalaya Vajomba Altice Fresh Mints, dalam membudayakan amalan menderma.

Katanya, pembelian tersebut sekali gus membantu organisasi pertolongan cemas itu daripada segi pembiayaan operasi dan logistik.

“Kami lancarkan gula-gula khas sempena kerjasama ini. Setiap RM0.20 daripada jualan gula-gula untuk setiap peket yang dijual akan disumbangkan semula kepada St John Ambulans Malaysia (SJAM) untuk membantu kos operasi.

“Kami gembira dapat memainkan peranan sebagai syarikat korporat yang turut sama menyumbang khidmat kembali kepada masyarakat. Sokongan kami tidak akan berhenti di sini, kami dalam perbincangan untuk melihat bagaimana lagi kita boleh menyokong St John Ambulans Malaysia (SJAM),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, syarikat itu akan melancarkan gula-gula Himalaya Vajomba Altice Fresh Mints pada Januari 2024 dengan rakan-rakan kongsi runcit terpilih.

Pada majlis itu, MoU tersebut ditandatangani Pengarah Pemasaran dan Jualan, Low Teck Long dan Ketua Pemasaran dan Jualan, Lim Chong Keat mewakili Nicko Jeep Manufacture Sdn Bhd manakala St John Ambulans Malaysia (SJAM) diwakili Naib Pengerusi, Datuk Yeo Kim Thong dan Setiausaha Agung Kehormatnya, Hoo We Tak.

Majlis MoU itu disaksikan Pengarah Urusan Nicko Jeep Manufacture Sdn Bhd, Datuk Kenny Low dan Pengerusi St John Ambulans Malaysia (SJAM), Datuk Lai See Ming.

Hadir sama menyaksikan pemeteraian MOU tersebut adalah Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka merangkap ADUN Ayer Keroh, Kerk Chee Yee.

Sementara itu, See Ming berkata, beliau teruja dengan peluang kerjasama dan sokongan yang diberikan oleh Nicko Jeep Manufacture Sdn Bhd terhadap mereka.

Beliau yakin kualiti produk gula-gula keluaran syarikat itu mampu menarik lebih ramai peminat untuk membeli sambil menderma.

“‘Berkhidmat untuk Masyarakat’ menjadi misi St John Ambulans Malaysia (SJAM) menerusi perkhidmatan 24 jam, tujuh hari seminggu untuk ambulans, hemodialisis, latihan bantuan awal 999, pertolongan cemas dan khidmat masyarakat.

“Sebagai organisasi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tidak mendapat sebarang keuntungan, St John Ambulans Malaysia (SJAM) mengumpul dana menerusi pelbagai aktiviti dengan penglibatan syarikat-syarikat korporat, antaranya Nicko Jeep Manufacture Sdn Bhd,” ujarnya

BBerkaitan

Latest articles