KUALA LUMPUR: Usaha Malaysia untuk membantu membangunkan semula Gaza terus mendapat sokongan pelbagai pihak di negara ini, termasuk Humanitarian Care Malaysia (MyCARE).
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Kamal Nasharuddin Mustapha menyifatkan inisiatif kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti memberi sinar kepada penduduk Gaza selepas lebih setahun berdepan dengan trauma peperangan dan kemusnahan nyawa serta harta benda.
“Setelah 15 bulan menghadapi serangan yang tiada henti, rakyat Gaza kini mula melihat sinar harapan dengan termeterainya perjanjian gencatan senjata.
“Namun, kesengsaraan yang mereka alami tidak terhitung. Puluhan ribu nyawa tidak berdosa terkorban, sementara masjid, hospital, sekolah dan rumah iaitu tempat berlindung dan tempat mencari ilmu telah musnah dalam kekejaman yang tiada perikemanusiaan,” katanya.
Malaysia mengumumkan usaha kerjasama bersama beberapa pihak, termasuk Jepun untuk membina semula Gaza, termasuk mendirikan rumah, sekolah dan masjid.
“Di pihak Humanitarian Care Malaysia akan mempertingkatkan lagi bantuan kemanusiaan ke Gaza sesuai dengan keperluan mendesak di wilayah itu.
“MyCARE telah menggerakkan bantuan kemanusiaan ke Gaza sejak hari pertama genosid pada 7 Oktober 2023. Setakat ini, lebih RM16 juta bantuan kemanusiaan telah berjaya disalurkan dengan kerjasama pelbagai pihak melalui pejabat MyCARE di Gaza,” katanya.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Moktar menggesa pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang selalu berurusan di Gaza dan Palestin turut serta dalam membantu kerajaan.
Ia apabila Jawatankuasa Khas Penyelarasan Agensi-Agensi bagi mendukung komitmen Perdana Menteri membantu membangunkan semula Gaza akan memulakan mesyuaratnya pada Khamis depan.