KUALA LUMPUR: Tindakan tegas akan diambil terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dua Menteri kabinet yang lain sekiranya Mahkamah Rayuan mengesahkan kewujudan titah adendum Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16.
Perkara itu ditegaskan Pengerusi Ummah, Mohd Zai Mustafa dengan menambah pihaknya percaya wujudnya cubaan untuk menyembunyikan kebenaran dan fakta berkenaan titah adendum terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Kalau mahkamah kata adendum itu wujud dan dijumpai, bermakna kerajaan selama ini telah menyembunyi, menyorok dan gagal melaksanakan titah tersebut.
“Kalau mahkamah nanti menentukan ada (Adendum), bermakna Perdana Menteri bercakap tidak benar, maka dia telah ingkar dan derhaka kepada titah YDPA.
“Kena ambil tindakan walaupun Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, mereka kena diambil tindakan bila didakwa dan kita NGO tidak teragak-agak untuk buat laporan polis,” katanya pada sidang media, hari ini.
Dalam masa yang sama, Mohd Zai menegaskan keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya pada Isnin ini adalah penting bukan sahaja demi keadilan kepada Najib, bahkan untuk memastikan institusi Diraja terus terpelihara dan dihormati rakyat.
“Isu 3R wujud (bagi mengelak) membuat perkara-perkara yang boleh meninggalkan kesan buruk kepada raja.
“Tapi kalau ini dilakukan (Adendum disembunyikan), bermakna kerajaan telah menunjukkan satu teladan atau contoh yang buruk dan rakyat tak suka perkara ini,” katanya.
Menerusi sidang media yang sama, Mohd Zai turut mendakwa, wujud krisis kuasa antara kerajaan pimpinan Anwar dengan YDPA.
“Kenapa tidak berlaku satu keadaan macam ketidakseimbangan antara kuasa kerajaan yang diketuai Perdana Menteri dengan kuasa YDPA.
“Bila Agong menitahkan sesuatu (titah) ia bukan boleh dipertimbangkan, PMX kata kita akan pertimbangkan, bila Agong kata ini adalah Adendum, ia titah juga yang dianggap sama dan ia perlu dilaksanakan,” katanya.
Himpunan Solidari Bersama Najib akan diadakan pada Isnin ini, hari sama Mahkamah Rayuan mendengar rayuan bekas Ahli Parlimen Pekan itu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan Titah Adendum yang dikatakan dikeluarkan Al-Sultan Abdullah berhubung tahanan rumah.
Bagaimanapun Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pada semalam menggesa orang ramai tidak menyertai apa jua perhimpunan yang dianjurkan oleh mana-mana pihak, demi menghormati Yang di-Pertuan Agong.
Ia susulan kenyataan Istana Negara, yang mengingatkan semua pihak menghormati Perlembagaan dan undang-undang bagi memohon pengampunan atau pengurangan hukuman seseorang banduan.