Meskipun kes Covid-19 terus mencatatkan peningkatan di Nepal, namun negara itu tetap mengambil keputusan untuk membuka semula kawasan pergunungannya, termasuk Everest bagi aktiviti pendakian pada musim luruh akan datang.
Tindakan itu, dilihat sebagai usaha meningkatkan kembali ekonomi negara berkenaan selepas menerima kesan besar akibat penularan wabak Covid-19.
Pada Mac lalu, Nepal menutup sempadan negaranya dan menyebabkan ia hilang pendapatan sehingga berjuta dolar dan ramai rakyat hilang peluang pekerjaan.
Minggu lalu, kerajaan Nepal mengumumkan sekatan sempadannya telah dibatalkan.
Kerajaan juga akan memberi permit penerbangan antarabangsa untuk ke negara itu bermula 17 Ogos ini.
Pegawai kini bertungkus lumus dalam penyediaan protokol keselamatan termasuk berapa lama pelancong perlu dikuarantin ketika ketibaan.
Bagaimanapun pada minggu ini sahaja, Nepal mencatatkan sebanyak 1,000 kes baru dengan jumlah keseluruhan 19,547 kes.