KUALA LUMPUR: Pembangunan di Kelantan, secara hakikatnya masih jauh ke belakang jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain.
Sehubungan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa rakyat Kelantan membuat keputusan terbaik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini, demi manfaat generasi akan datang dan negeri secara keseluruhannya.
Tambah Anwar, rakyat di Kelantan perlu meneliti sebab Kelantan masih jauh ketinggalan berbanding negeri lain terutama Perak, Johor, Selangor dan Pulau Pinang.
“Mengapa negeri lain maju? Jawapannya pemerintah tidak fikir ke depan, tak ada rancangan yang baik, yang ada hanyalah cerca orang, fitnah kepada orang,” katanya ketika berucap pada Jelajah Perpaduan MADANI di Batang Merbau, malam tadi.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), dan Pengerusi BN Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.
Anwar, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, berkata rakyat juga tidak seharusnya terus terpengaruh dengan isu agama dibawa oleh parti politik.
“(Masih guna) syurga dan neraka puluhan tahun dah ni, nak masuk syurga dan neraka bukan (ditentukan) parti,” katanya.
Perdana Menteri turut melahirkan keyakinan bahawa Kerajaan Perpaduan akan kekal mentadbir negara dalam tempoh lima tahun ini.
Katanya parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan telah menyatakan komitmen mereka untuk mengekalkan kerjasama itu.
Terdahulu, Anwar meluangkan masa menghadiri Majlis Ilmu dan Selawat di Madrasah Ribat Al Musthofa, Kampung Bagan Bawah, Pulai Chondong, Machang.
Beliau turut bersama warga madrasah itu menunaikan solat Maghrib secara berjemaah.- BERNAMA