Nazri Sedia Buat ‘Comeback’ Bertanding PRU16

KUALA LUMPUR: Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz memberi bayangan kemungkinan kembali ke gelanggang politik pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), sekiranya khidmat beliau masih diperlukan oleh parti.

Mohamed Nazri, 72, berkata beliau terbuka untuk bertanding semula walaupun tidak mempertahankan kerusi Parlimen Padang Rengas pada PRU lalu.

“Saya masih Ketua Bahagian UMNO Padang Rengas. Soal bertanding atau tidak, kita lihat keadaan nanti,” katanya memetik laporan BH.

Nazri yang pernah memenangi Parlimen Padang Rengas selama enam penggal sebelum ini memilih untuk berundur pada PRU15, selepas menamatkan perkhidmatan sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat pada Februari tahun lalu.

Ketiadaan beliau menyaksikan kerusi berkenaan, yang sebelum ini dianggap kubu kuat Barisan Nasional (BN), jatuh ke tangan Perikatan Nasional (PN).

Pada PRU15, calon PN, Azahari Hasan menang dengan 12,931 undi, menewaskan calon BN, Mohd Ariff Abdul Majid yang memperoleh 9,885 undi, serta calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Kamil Abdul Munim dengan 7,062 undi.

Mengulas soal kerjasama UMNO dan PAS menerusi Muafakat Nasional (MN), Mohamed Nazri berpandangan langkah tersebut lebih sesuai dipertimbangkan selepas PRU16.

Menurut beliau, sebarang kerjasama sebelum pilihan raya berisiko menjejaskan peluang UMNO untuk bangkit semula di negeri-negeri utara dan Pantai Timur, termasuk Kelantan, Kedah, Perlis dan Terengganu.

“UMNO sudah kalah di empat negeri ini pada PRU15. Jika kerjasama dibuat sebelum pilihan raya, ia boleh menutup terus peluang UMNO untuk kembali bertanding dengan kuat,” katanya.

Beliau menegaskan strategi politik perlu disusun dengan teliti bagi memastikan kelangsungan dan kebangkitan parti.

Untuk rekod, Mohamed Nazri pernah memegang beberapa portfolio penting termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen), Menteri Pembangunan Usahawan serta Menteri Pelancongan dan Kebudayaan.

BBerkaitan

Latest articles