Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz memaklumkan tiada seorang pun daripada 23 orang ahli parlimen parti itu menyokong usaha Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan baru.
“Tiada apa yang berlaku dalam Umno. Terdapat 23 ahli Parlimen dari Umno. Saya dengan yakin boleh kata kami tidak menyokong inisiatif Anwar,” katanya menepis laporan sebuah portal yang mendakwa berlaku ketegangan antara ahli-ahli parlimen Umno yang ada di kalangan mereka menentang dan menyokong usaha Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.
Bagaimnapun sumber daripada tiga orang ahli parlimen Umno dipetik sebagai berkata parti itu berpecah kepada tiga kumpulan, iaitu yang menentang, yang menyokong dan di atas pagar.
Mengulas hal itu, Nazri berkata; “Selain daripada mereka yang menafikannya secara tegas di media sosial, saya sudah bercakap kepada selebihnya dan mereka mengesahkan kepada saya, mereka tidak menyokong rancangan Anwar.”
Bahkan kenyataan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa ahli-ahli parlimen Umno bebas menyokong sesiapa sahaja, menurut Nazri tidak bermakna mereka menyokong Ahli Parlimen Port Dickson itu.
“Ahli Parlimen Umno akan bersatu dan sebarang keputusan yang kami buat adalah secara bersama. Saya menjelaskan perkara ini bagi mengelakkan sebarang kekeliruan di kalangan orang ramai mengenai pendirian kami (ahli Parlimen Umno) dalam isu ini.” ujarnya.