KUALA LUMPUR: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas ke atas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, berikutan kenyataannya yang didakwanya tidak profesional dan mencemarkan nama baik Malaysia di peringkat antarabangsa.
Dalam kenyataannya yang dipetik dari laporan Berita Harian Online, Nazri menegaskan bahawa sebagai Ketua Hakim Negara dan penjawat awam, Tengku Maimun seharusnya menjaga tutur kata dan tidak mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan kekeliruan tentang campur tangan Perdana Menteri dalam urusan pelantikan hakim tertinggi negara.
“Saya tidak mempunyai masalah dari segi profesionalisme dengan beliau, tetapi apabila beliau mengeluarkan kenyataan meminta agar tiada campur tangan Perdana Menteri dalam lantikan hakim, ini tidak sepatutnya berlaku. Kenyataan itu telah dilakukan di luar negara dan telah menarik perhatian masyarakat dunia, memalukan nama Malaysia,” ujar Nazri.
Bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat itu turut menambah bahawa kenyataan tersebut mencerminkan imej negara yang tidak menjalankan tugas mengikut undang-undang, seolah-olah negara ini beroperasi secara ‘koboi’.
Beliau menegaskan bahawa sebagai seorang Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun mesti bersikap lebih berhati-hati dan hanya menyampaikan fakta yang tepat.
Nazri juga mengkritik kenyataan yang disuarakan oleh Tengku Maimun pada Persidangan Undang-Undang Komanwel ke-24 di Malta.
Dalam ucapannya, beliau bertanya secara kritis tentang asas kajian yang dikatakan menyarankan pemisahan kuasa Perdana Menteri dalam proses pelantikan, dan menegaskan bahawa sebarang kajian yang belum selesai seharusnya tidak dijadikan perbincangan, terutamanya oleh seseorang dengan profil tinggi seperti Ketua Hakim Negara.
“Beliau sepatutnya mengeluarkan kenyataan berdasarkan fakta semata-mata. Oleh itu, saya meminta Kabinet negara mengambil tindakan tegas terhadap Tengku Maimun kerana kenyataan yang dinyatakan itu tidak benar dan menuduh kerajaan mencampuri urusan perundangan negara,” kata Nazri.