Nazri Dakwa Ucapan Di Malta Jadi Punca Khidmat Tun Maimun Tak Dilanjut?

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Nazri Aziz tampil membidas bekas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, dengan mendakwa tindakan beliau membangkitkan isu kemungkinan campur tangan Perdana Menteri dalam pelantikan kehakiman di pentas antarabangsa adalah tidak wajar, malah mungkin menjadi sebab mengapa permohonan pelanjutan tempoh khidmat beliau tidak dipertimbangkan.

Nazri menyifatkan ucapan Tengku Maimun ketika Persidangan Undang-undang Komanwel ke-24 di Malta pada April lalu sebagai membuka pekung di dada sendiri di hadapan komuniti global.

“Kalau rasa Perdana Menteri campur tangan, patutnya jumpa dia diam-diam. Tegur di sebalik pintu tertutup, bukan pi cerita kat Malta, heboh satu dunia!” katanya seperti dipetik portal The Scoop.

Nazri menolak dakwaan peguam yang cuba memberi ‘lesen putih’ kepada Tengku Maimun kononnya bekas Ketua Hakim Negara itu tidak merujuk secara khusus kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Dia Ketua Hakim Negara yang sedang berkhidmat. Anwar pula Perdana Menteri masa tu. Jadi siapa lagi dia nak maksudkan kalau bukan Anwar?”

Tambah Nazri lagi, ketika itu Anwar giat melakukan lawatan ke luar negara untuk menarik pelaburan, jadi kenyataan Tengku Maimun hanya menambahkan persepsi negatif terhadap pentadbiran Malaysia.

Untuk rekod, ketika berucap di Malta, Tengku Maimun mencadangkan supaya peranan Perdana Menteri dalam proses pelantikan hakim dihapuskan menerusi pindaan Perlembagaan dan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman.

Beliau berhujah langkah itu penting bagi meningkatkan ketelusan, keadilan dan mengikis persepsi wujudnya pengaruh politik dalam pemilihan hakim.

“Kalau kita benar-benar mahu lantikan berasaskan merit dan bebas daripada politik, mungkin perlu fikir hapuskan peranan PM dalam proses ini,” kata Tengku Maimun dalam ucapannya.

Nazri dalam nada sinis turut mengingatkan bahawa Tengku Maimun sendiri sebelum ini pernah menegaskan keharmonian hubungan antara badan kehakiman, eksekutif dan perundangan penting untuk sistem demokrasi.

“Dia yang kata tak ada persaingan antara cabang kerajaan. Dia juga yang kata perlembagaan tertinggi. Sepatutnya ambil iktibar dari ucapannya sendiri,” sindir Nazri.

Tengku Maimun mencatat sejarah sebagai wanita pertama dilantik memegang jawatan Ketua Hakim Negara pada 2019.

Beliau bersara pada 5 Julai lalu selepas lima tahun menerajui badan kehakiman negara.

BBerkaitan

Latest articles