KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini bakal menentukan nasib bekas pembantu penyelidik politik, Muhammed Yusoff Rawther, sama ada beliau dibebaskan atau perlu membela diri atas pertuduhan serius mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pucuk pistol tiruan.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin dijadual menyampaikan keputusan sama ada pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
Jika mahkamah mendapati tiada kes prima facie, Muhammed Yusoff, 28, akan dibebaskan tanpa perlu membela diri.
Namun, sekiranya sebaliknya berlaku, beliau akan diarahkan membela diri pada tarikh yang akan ditetapkan.
Sepanjang perbicaraan yang bermula 7 April lalu, pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Sabri Othman telah memanggil seramai 13 saksi.
Sementara itu, pihak pembelaan yang diketuai peguam Muhammad Rafique Rashid Ali telah menemu bual tujuh saksi yang ditawarkan oleh pendakwaan.
Muhammed Yusoff menghadapi dua pertuduhan berasingan iaitu mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram di hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) pada jam 10.15 pagi, 6 September 2024.
Pertuduhan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, dengan hukuman penjara seumur hidup dan sekurang-kurangnya 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Beliau turut didakwa memiliki dua pucuk pistol tiruan di tepi jalan berhampiran kondominium di Jalan Bukit Kiara, Kuala Lumpur, jam 9.25 pagi pada hari sama.
Pertuduhan di bawah Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 dengan mensabitkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya jika terbukti salah.