Nasib Permohonan Rayuan AG Berkaitan Titah Adendum Najib Diketahui Esok

KUALA LUMPUR: Peguam Negara, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar akan mengetahui esok sama ada beliau dibenarkan merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Datuk Seri Najib Razak mencabar kewujudan titah adendum berkaitan hukuman penjaranya.

Keputusan penting itu akan diumumkan panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim, bersama Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah.

Sekiranya permohonan Mohd Dusuki dibenarkan, mahkamah akan menetapkan satu tarikh baharu untuk mendengar hujahan lanjut mengenai tujuh persoalan undang-undang yang dikemukakan, yang menurut beliau menyentuh isu kepentingan awam yang belum pernah diputuskan mahkamah tertinggi negara.

Bagaimanapun, jika permohonan itu ditolak, semakan kehakiman berkaitan titah adendum yang dikemukakan Najib akan diteruskan di Mahkamah Tinggi seperti diarahkan Mahkamah Rayuan sebelum ini.

Dalam prosiding sebelum ini, Mohd Dusuki berhujah bahawa antara persoalan utama ialah sama ada bukti baru atau tambahan yang mempunyai kesan undang-undang boleh dikemukakan pada peringkat semakan kehakiman, serta tanggungjawab Peguam Negara untuk mengesahkan kewujudan dan menyediakan salinan dokumen tersebut.

“Persoalan ini melibatkan kepentingan awam dan memerlukan panduan mahkamah, lebih-lebih lagi kerana ia membabitkan pelaksanaan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong,” hujah Mohd Dusuki.

Sementara itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib berhujah bahawa permohonan itu perlu ditolak kerana persoalan undang-undang yang dibangkitkan kini bersifat akademik, memandangkan Mahkamah Rayuan sudah memutuskan bahawa titah adendum itu wujud.

Muhammad Shafee juga menegaskan bahawa Najib tidak mencabar keputusan Lembaga Pengampunan, sebaliknya memohon pengesahan titah Yang di-Pertuan Agong yang didakwa membenarkan beliau menjalani baki hukuman enam tahun dalam tahanan rumah.

Pada 6 Januari lalu, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 membenarkan Najib meneruskan semakan kehakiman berkaitan titah adendum tersebut.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara enam tahun selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Beliau memfailkan semakan kehakiman untuk memaksa kerajaan dan enam lagi pihak mengesahkan kewujudan titah adendum tersebut, termasuk memohon perintah supaya beliau dipindahkan dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman.

Pada Januari lalu, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, serta mengurangkan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

BBerkaitan

Latest articles