Nasib Najib Diketahui 20 Jun Ini

KUALA LUMPUR: Sama ada Datuk Seri Najib Razak akan dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta dana SRC International Sdn Bhd, keputusannya bakal diketahui pada 20 Jun ini.

Hakim Mahkamah Tinggi K. Muniandy menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan panjang lebar daripada kedua-dua pihak, hari ini.

Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memohon agar anak guamnya diberikan DNAA atas alasan kes itu berlarutan terlalu lama tanpa sebarang jaminan perbicaraan akan bermula dalam masa terdekat.

“Kes ini telah berlarutan sejak 2019. Sudah enam tahun berlalu dan dokumen berkaitan pula masih berselerak di beberapa tempat termasuk Mahkamah Persekutuan dan prosiding sivil lain,” katanya.

Menurutnya, tindakan menangguhkan perbicaraan tanpa tarikh tetap adalah satu bentuk ketidakadilan terhadap tertuduh yang masih dalam tahanan penjara.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Ashrof Adrin Kamarul membantah permohonan itu dan memaklumkan bahawa pihaknya sudah bersedia untuk meneruskan kes.

Beliau turut memaklumkan bahawa permohonan representasi Najib telah ditolak oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) baru-baru ini.

“Kami hanya memerlukan masa bagi mengakses 807 eksibit perbicaraan terdahulu dalam kes SRC yang dikendalikan Hakim Mohd Nazlan. Dokumen ini penting untuk kelancaran kes RM27 juta ini,” katanya.

Tambahnya lagi, kesukaran mendapatkan semula dokumen yang kali terakhir dilihat pada tahun 2020 menjadi kekangan utama, namun ia bukan alasan untuk menggugurkan pertuduhan.

Najib, 72, didakwa pada 3 Februari 2019 atas tiga pertuduhan menerima RM27 juta hasil kegiatan haram melalui akaun miliknya di AmPrivate Banking, AmIslamic Bank, Jalan Raja Chulan, pada 8 Julai 2014.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta AMLA 2001, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda hingga RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Beliau kini sedang menjalani hukuman penjara enam tahun di Penjara Kajang selepas disabitkan menyeleweng RM42 juta dana SRC, dengan hukuman asal 12 tahun dan denda RM210 juta dikurangkan oleh Lembaga Pengampunan pada Januari 2024.

BBerkaitan

Latest articles