Nasib Ibu Zayn Rayyan Bersalah Atau Bebas Ditentukan Jumaat Ini

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen Petaling Jaya akan membuat keputusan Jumaat ini sama ada Ismanira Abdul Manaf, 30, bersalah atau tidak atas tuduhan mengabaikan anaknya, Zayn Rayyan Abdul Matin, seorang kanak-kanak autisme yang meninggal dunia pada Disember tahun lalu.

Keputusan akan dibacakan oleh Hakim Dr Syahliza Warnoh selepas meneliti hujahan bertulis kedua-dua pihak iaitu pembelaan yang difailkan pada 18 September, dan jawapan daripada pendakwaan pada 1 Oktober.

Dalam hujahnya, pihak pembelaan menegaskan Ismanira tidak mengabaikan anaknya, sebaliknya wujud keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mereka berhujah berdasarkan pendapat Pakar Psikologi Kanak-Kanak, Dr Noor Aishah Rosli, yang menyatakan bahawa pengabaian tidak boleh dinilai hanya daripada satu insiden semata-mata.

“Hubungan ibu dan anak sebelum, semasa dan selepas kejadian mesti diambil kira. Dalam kes ini, bukti tidak menunjukkan Ismanira gagal menjalankan tanggungjawabnya,” hujah pihak pembela.

Pembelaan turut mengingatkan mahkamah supaya tidak dipengaruhi oleh spekulasi atau sentimen media sosial, sebaliknya hanya berpegang pada keterangan yang diterima secara sah di mahkamah.

Pendakwaan pula berhujah bahawa ketika kejadian, Zayn Rayyan dibiarkan tanpa pengawasan oleh ibunya.

Berdasarkan rakaman CCTV dan keterangan dua saksi kanak-kanak, mangsa dilihat berlari sendirian ke arah kebun di belakang Blok R tanpa dikejar tertuduh.

“Sebagai ibu kepada anak autisme, tertuduh sepatutnya memastikan keselamatan anaknya, bukannya meninggalkan mangsa dan masuk ke rumah terlebih dahulu,” tegas pendakwa raya.

Ismanira berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, kerana didakwa mengabaikan Zayn Rayyan antara 5 dan 6 Disember 2023 di sekitar Apartment Idaman, Damansara Damai.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun atau denda maksimum RM50,000.

Kes ini mendapat perhatian luas selepas kematian tragis Zayn Rayyan mencetuskan pelbagai spekulasi dan perdebatan awam mengenai tanggungjawab ibu bapa terhadap anak autisme.

BBerkaitan

Latest articles