Nasib Anak Pati Dalam Tahanan Akan Dibincangkan – KDN

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta pihak berkaitan dalam menentukan nasib anak-anak pendatang tanpa izin (Pati) yang ditahan bersama ibu bapa mereka di depoh tahanan.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, perbincangan itu akan mengambil kira aspek kemanusiaan serta perundangan yang ada.

“Saya hanya baru dapat tahu semalam mengenai keadaan anak-anak ini di depoh tahanan dan saya akan berbincang lebih lanjut lagi untuk mendapatkan solusi yang terbaik bagi kedua-dua pihak.

“Selepas mendapat keputusan dan cadangan dalam perbincangan ini, saya akan umum dan kongsikan dengan media. Beri saya sedikit masa lagi,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Amanat Tahun Baharu dan Perhimpunan Bulanan di Auditorium KDN, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah; Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; dan Ketua-ketua jabatan serta kakitangan KDN.

Pada majlis itu, Saifuddin Nasution melancarkan buku ‘Cyber Crime in Malaysia: The Pervasive Impact of the Internet’.

Terdahulu, dalam ucapannya, beliau memaklumkan slogan Malaysia Madani yang dijadikan konsep pemerintahan Kerajaan Perpaduan adalah hasil daripada garapan manifesto parti-parti politik yang bergabung.

Katanya, beliau menjadikan semua janji dalam manifesto itu kepada tiga gagasan iaitu pertama, tekad dan keazaman untuk mempertahankan prinsip yang telah disepakati dalam Perlembagaan Persekutuan dengan mempertahankan Islam sebagai agama persekutuan dan jaminan kebebasan beragama.

“Kedua, mengiktiraf kedudukan dan fungsi Institusi Raja-Raja Melayu dan ketiga, mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa ibunda lain boleh dipelajari.

“Konsep ini telah dirujuk kepada Jemaah Menteri dan selepas mendapat pandangan serta penambahbaikan, maka ia menjadi dasar kerajaan dan akan dilaksanakan sepanjang tempoh penggal ini,” katanya.

Beliau berkata, pembentukan Kerajaan Perpaduan atas nasihat Yang di-Pertuan Agong tidak lagi menoleh ke belakang selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat sokongan lebih dua pertiga Ahli Dewan Rakyat menerusi usul undi percaya baru-baru ini.

Sejak itu, katanya, Perdana Menteri meminta semua Menteri, Timbalan Menteri dan Ahli-ahli Parlimen blok kerajaan tidak lagi menyentuh sentimen kerajaan terdahulu.

“Perdana Menteri menekankan betapa pentingnya semua Jemaah Menteri dan pemimpin politik dari parti gabungan ini berusaha untuk meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Cukuplah dengan ketidakstabilan politik atas sebab-sebab tertentu sebelum ini menjadi pengajaran kepada kita semua. Tugas kita ialah membantu Perdana Menteri menstrukturkan semula ekonomi negara.

“Kelesuan ekonomi ini telah memberi kesan kepada rakyat sehingga mereka hilang pendapatan, susut mata pencarian ketika kadar inflasi meningkat, kos sara hidup meningkat dan komitmen lain juga bertambah berat,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles