Nak Kahwin Lagi Satu? Ini Lima Perkara Yang Si Suami Perlu Tahu!

  • “Lecehlah prosedur kahwin dua ni, baik nikah di Siam, bini pun tak tahu.”

Haa, ini antara bisikan ‘jahat’ yang sentiasa berlegar dalam kalangan lelaki yang ingin ‘pasang’ lagi seorang isterinya.

Sudahlah tak nak isteri pertama tahu, siap nak lari kahwin di seberang lagi sebab tak mahu beratkan kepala dengan prosedur poligami.

Dah pandai nak kahwin lebih seorang, kenalah bijak uruskan yang penting, barulah hati tenang, dua rumah tangga pun dapat dibina dengan kasih sayang dan aman tenteram.

Kaum lelaki perlu melakukan lima perkara seperti di bawah jika mahu berpoligami, demikian menurut Peguam Syarie dan Konsultan Perundangan Islam, Fahmi Ramli.

Beliau menegaskan si suami perlu melakukan lima perkara asas tersebut bagi mengelakkan berlaku perceraian yang biasanya melibatkan pasangan berusia antara 35 hingga 50 tahun yang mengamalkan poligami.

Perkara pertama yang perlu dilakukan si suami ialah menyediakan rumah berasingan bagi memenuhi hak setiap isteri.

“Seterusnya (kedua), suami harus beri wang nafkah yang cukup. Di dalam perintah poligami Mahkamah Syariah perlu dinyatakan terus berapa jumlah nafkah yang hendak diberi oleh suami kepada isteri sedia ada, bakal isteri dan anak-anak.

“Kemudian (ketiga), suami perlu buat jadual bermalam. Jika mahu poligami, tidak adil sekiranya setiap malam hanya rumah isteri kedua. Nafkah batin ini wajib dan ia bukan tentang bersetubuh sahaja namun penjagaan hati dan kasih sayang juga sebahagian daripada nafkah batin,” katanya dalam satu perkongsian di laman Facebooknya.

Perkara seterusnya, Fahmi berkata, setiap harta yang diperolehi semasa dalam tempoh perkahwinan dengan isteri sedia ada perlu diisyitiharkan sebagai harta sepencarian bersama.

Jelas beliau harta sepencarian ini bukan sekadar sumbangan wang ringgit sahaja, sumbangan tak langsung isteri seperti melahirkan anak pun boleh dikira sumbangan untuk dapatkan harta tersebut.

“Saya cukup tidak bersetuju kalau suami buat keputusan nak poligami namun nikah di sempadan Thailand atas alasan mengelak dari mahkamah atau tidak mahu isteri pertama tahu.

“Sekiranya mahu poligami, buat permohonan poligami di Mahkamah Tinggi Syariah dan nyatakan alasan serta kemampuan di situ,” kata Fahmi.

BBerkaitan

Latest articles