KUALA LUMPUR: Kedua-dua lokasi yang menjadi pilihan penganjur Himpunan Rakyat Benci Rasuah di Sogo dan Dataran Merdeka mempunyai pemilik masing-masing.
Sehubungan itu penganjur perlu mendapatkan kebenaran daripada kedua-dua pemilik premis tersebut seperti yang telah diarahkan polis.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata sedemikian sebagai membalas kenyataan penganjur himpunan yang mempersoalkan syarat tambahan.
“Tempat awam itu tempat yang tak ada pemilik. Kalau luar Sogo kena minta kebenaran dengan Sogo.
“Dataran Merdeka kena minta izin Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Undang-undang kata begitu,” katanya pada sidang media selepas Sidang Kemuncak dan Ekspo Keselamatan Antarabangsa Asia 2025.
Beliau turut meminta penganjur tidak merungut dengan syarat tambahan itu sambil yakin polis menggunakan kuasa mereka di bawah Akta Perhimpunan Aman.
Media sebelum ini melaporkan Sekretariat Rakyat Benci Rasuah melahirkan rasa terkejut terhadap arahan polis untuk mendapatkan persetujuan daripada pemilik premis yang bakal menjadi tempat mereka mengadakan himpunan pada Sabtu ini
Penasihat undang-undang sekretariat itu Zaid Malek berkata syarat tambahan dikenakan pihak berkuasa ke atas mereka itu disifatkan tidak mempunyai asas undang-undang kerana protes tersebut sepatutnya dijalankan di kawasan awam.
Perhimpunan itu akan bermula di luar Sogo di Kuala Lumpur dan menuju ke Dataran Merdeka.