Shah Alam : Bekas perdana menteri Najib Razak menyelesaikan saman fitnah terhadap bekas peguam negara Tommy Thomas dan penerbit GB Gerakbudaya Enterprise Sdn Bhd berhubung beberapa kandungan dalam memoir Thomas.
Penyelesaian itu direkodkan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Khadijah Idris selepas peguam kedua-dua pihak memaklumkan kepada mahkamah bahawa satu penyelesaian secara baik telah dicapai.
“Terma penghakiman persetujuan direkodkan oleh mahkamah. Sehubungan itu, saman sivil plaintif ditarik balik tanpa perintah kos dan tanpa kebenaran untuk memfailkan semula,” kata hakim.
Sementara itu, peguam Najib, Tan Sri Shafie Abdullah. berkata , Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, mengakui bahawa tiada sebarang bukti yang mengaitkan Datuk Seri Najib Tun Razak dengan pembunuhan Altantuya Shaariibuu sejak penerbitan bukunya pada tahun 2021.
Katanya pengakuan itu terkandung dalam persetujuan penyelesaian kes saman sivil yang difailkan oleh Najib terhadap Tommy Thomas dan penerbit bukunya, Gerak Budaya, berkaitan kandungan Bab 42 buku My Story: Justice in the Wilderness.
“Tommy Thomas menyatakan bahawa beliau kekal dengan pendapatnya bahawa Statutory Declaration Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri adalah selari antara satu sama lain, namun beliau menerima bahawa sejak penerbitan buku itu pada tahun 2021, beliau tidak mengetahui sebarang keterangan yang mengaitkan Datuk Seri Najib dengan pembunuhan Altantuya,” katanya kepada pemberita di perkarangan Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.
Menurut Shafie, Tommy Thomas turut menyatakan bahawa walaupun beliau dimaklumkan terdapat siasatan lanjut selepas penerbitan buku berkenaan, beliau tetap tidak mengetahui sebarang bukti yang mengaitkan Najib dengan kes tersebut.
Berikutan itu, kata Shafie, Tommy Thomas tidak membantah penarikan balik saman sivil tersebut terhadap dirinya dan penerbit, tanpa sebarang perintah kos terhadap mana-mana pihak.
“Selain itu, Tommy Thomas turut bersetuju bahawa sekiranya buku berkenaan dicetak semula atau diterbitkan semula pada masa hadapan, kenyataan bahawa tiada bukti mengaitkan Datuk Seri Najib dengan pembunuhan Altantuya sejak 2021 akan dinyatakan pada muka surat yang sama, iaitu muka surat 404 dan 405,” katanya.
Shafie berkata Gerak Budaya selaku penerbit buku tersebut turut menerima sepenuhnya kandungan persetujuan berkenaan.
Mengulas lanjut, Shafie menegaskan bahawa penyelesaian ini amat penting kepada Najib kerana sejak awal lagi bekas Perdana Menteri itu tidak menuntut sebarang pampasan kewangan, sebaliknya hanya mahu membersihkan reputasinya.
“Datuk Seri Najib hanya mahu menegakkan reputasinya sebagai bekas Perdana Menteri dan seorang tokoh awam bahawa beliau tidak pernah terlibat, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dalam pembunuhan Altantuya,” katanya.
Beliau berkata sejak dahulu lagi, termasuk sebelum penerbitan buku tersebut, tidak pernah wujud sebarang bukti yang mengaitkan Najib dengan pembunuhan itu, walaupun pelbagai khabar angin dan spekulasi terus berlegar dalam masyarakat.
“Dengan pengakuan bekas Peguam Negara sendiri di mahkamah hari ini, sepatutnya segala spekulasi dan tohmahan terhadap Datuk Seri Najib berhubung perkara ini berakhir,” katanya.
Shafie turut memaklumkan bahawa Najib menyambut baik penyelesaian tersebut dan berasa lega kerana isu yang telah menghantui beliau selama bertahun-tahun akhirnya diperjelaskan.
“Beliau sangat gembira hari ini kerana akhirnya ada pengesahan bahawa walaupun siasatan lanjut telah dijalankan, termasuk atas permintaan pelbagai pihak, tiada sebarang bukti pernah ditemui yang mengaitkan beliau dengan pembunuhan Altantuya,” katanya.
Pada Oktober 2021 Bekas perdana menteri Najib Razak memfailkan saman fitnah terhadap Tommy Thomas dan sebuah syarikat yang menerbitkan buku bekas peguam negara itu.
Dalam pernyataan tuntutannya, Najib memberitahu mahkamah bahawa Thomas telah mencadangkan dalam buku “My Story: Justice in the Wilderness”, bahawa dia secara langsung terkait dengan Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar dalam kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Najib berkata, Thomas melalui buku itu menyindir dia bersalah atas konspirasi untuk membunuh Altantuya, selain mengelirukan rakyat berhubung episod itu dan oleh itu tidak layak memegang jawatan politik atau mana-mana jawatan.
Najib juga berkata Thomas telah menulis dalam bukunya bahawa dia mempunyai agenda untuk membunuh Altantuya dan didakwa mempengaruhi Sirul semasa bekas anggota polis itu ditahan di Australia.
Kata Najib perkataan-perkataan itu antara lain ditulis dengan niat jahat, untuk menimbulkan keraguan dan ketidakpercayaan.










