KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak tidak pernah meraih sebarang manfaat peribadi daripada keputusan berkaitan tadbir urus 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ketika beliau menerajui kerajaan, demikian ditegaskan pasukan pembelaan dalam hujahan meringankan hukuman di Mahkamah Tinggi.
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu mahkamah bahawa tiada keterangan yang membuktikan Najib menerima, menuntut atau mengharapkan faedah peribadi hasil keputusan yang dipertikaikan.
Menurutnya, segala kelulusan yang diberikan dibuat atas kapasiti rasmi demi kepentingan kerajaan dan Kementerian Kewangan, manakala sebarang penyelewengan dana berlaku tanpa pengetahuan anak guamnya.
Beliau turut menarik perhatian mahkamah terhadap tindakan Najib memulangkan hampir keseluruhan dana berjumlah AS$620 juta daripada AS$681 juta yang diterima, yang disifatkan sebagai petunjuk jelas ketiadaan motif untuk mengaut keuntungan.
Hujahnya, langkah itu mengukuhkan dakwaan bahawa Najib bertindak dengan niat baik serta percaya kepada kesahihan transaksi yang dilaksanakan.
Muhammad Shafee berkata, kes berkenaan juga tidak mempunyai ciri utama rasuah yang lazimnya menjadi asas kepada pengenaan hukuman berat.
Tambah beliau, dakwaan bahawa Najib mengalihkan dana untuk kemewahan diri atau mengumpul kekayaan secara rahsia tidak disokong oleh sebarang bukti.
Sebaliknya, menurut peguam itu, sebahagian besar dana berkaitan disalurkan untuk tujuan politik, sosial dan kebajikan di bawah rangka kerja Barisan Nasional, manakala perbelanjaan peribadi yang wujud adalah terhad dan berkait rapat dengan pelaksanaan tugas rasmi Najib sebagai Perdana Menteri.
Dalam hujahan sama, pasukan pembelaan turut memaklumkan bahawa Najib telah menzahirkan rasa kesal dan keinsafan terhadap skandal 1MDB melalui sepucuk surat terbuka bertarikh 24 Oktober 2024 yang disampaikan kepada umum menerusi anaknya, Datuk Mohd Nizar.
Menurut surat itu, Najib menyifatkan peristiwa 1MDB sebagai beban yang menghantui kehidupannya setiap hari kerana ia berlaku di bawah pengawasannya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Beliau juga menyampaikan permohonan maaf tanpa syarat kepada rakyat Malaysia, yang menurut Muhammad Shafee dibuat secara sukarela dan mencerminkan penyesalan tulen serta akauntabiliti moral.
Muhammad Shafee turut memohon mahkamah agar sebarang hukuman penjara yang dikenakan dilaksanakan secara serentak dengan tempoh pemenjaraan yang sedang dijalani Najib berkaitan kes SRC International.










