Najib Tiada Hubungan Dengan Jho Low, Jasmine Loo Tak Boleh Dipercayai

KUALA LUMPUR: Pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Razak dalam perbicaraan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berhujah bahawa keterangan saksi utama pendakwaan, Jasmine Loo Ai Swan, tidak wajar diterima oleh mahkamah kerana beliau merupakan individu yang tidak boleh dipercayai.

Peguam utama, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, dalam hujahnya di Mahkamah Tinggi hari ini berkata, kredibiliti bekas peguam 1MDB itu dipersoalkan kerana hubungan rapatnya dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Menurut beliau, Jasmine Loo sendiri mengakui pernah melarikan diri ke beberapa negara termasuk China dan bahkan dibantu oleh Jho Low untuk menyeberang ke Myanmar secara haram, tanpa sebarang cop pasport.

“Keadaan ini jauh berbeza dengan anak guam kami (Najib Razak). Tiada bukti menunjukkan beliau mempunyai hubungan seperti itu atau menerima sebarang bantuan daripada Jho Low,” kata Shafee.

Beliau menegaskan, sekiranya mahkamah mempercayai keterangan Jasmine Loo iaitu seorang peguam korporat yang gagal mengemukakan sebarang dokumen berhubung aliran wang diterimanya, maka Najib sepatutnya dibebaskan daripada semua pertuduhan.

Seorang lagi peguam bela, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, turut berhujah bahawa tiada sebarang bukti menunjukkan Najib mempunyai kepentingan peribadi dalam syarikat seperti Mastika Lagenda Sdn Bhd, Genting Berhad, RHB Investment, atau Goldman Sachs.

Katanya, pendakwaan cuba mengaitkan Najib dengan urusan pengambilalihan Mastika Lagenda sebagai alasan untuk mendakwanya atas pertuduhan salah guna jawatan awam, walaupun keputusan yang dibuat adalah dalam kapasiti beliau sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu.

“Pendakwaan terhadap Datuk Seri Najib diteruskan semata-mata kerana kedudukannya, bukan kerana penyalahgunaan kuasa. Ini menunjukkan wujudnya unsur pendakwaan bermotif politik,” katanya.

Najib, 71, kini berdepan empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.28 bilion daripada dana 1MDB, serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014, manakala kes pengubahan wang haram berlaku antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon, Kuala Lumpur.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah akan bersambung Isnin depan untuk mendengar hujah lanjut pihak pembelaan.

BBerkaitan

Latest articles