KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meluahkan rasa sedih atas pemergian Tun Abdullah Ahmad Badawi, sambil menyifatkan Allahyarham sebagai mentor, rakan karib dan pemimpin berintegriti.
Dalam satu hantaran di Facebook, Najib berkata Tun Abdullah atau lebih dikenali sebagai Pak Lah sangat rapat dengan keluarganya dan sentiasa memberi bimbingan serta nasihat sepanjang liku perjalanan politik.
“Pak Lah bukan sahaja seorang pemimpin berakauntabiliti tinggi, malah mengutamakan kecemerlangan. Prinsip dan semangat kepimpinannya menjadi antara inspirasi kepada gagasan 1Malaysia,” katanya.
Najib turut menyifatkan pemergian Pak Lah sebagai kehilangan besar buat negara dan mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Tun Abdullah meninggal dunia pada usia 86 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 7.10 malam tadi.
Berita pemergiannya disahkan menantunya, Khairy Jamaluddin.