Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberitahu dirinya sanggup digelar ‘pengkhianat’ di kala dirinya sedang berjuang membela nasib rakyat yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.
“Bertahun-tahun lamanya saya telah dipanggil pembunuh, perompak, penyamun, penyangak, penzina atau penjual negara…Saya tetap sabar.
“Jadi, tak rugi apapun jika saya turut dipanggil “pengkhianat” jika “pengkhianatan” saya dan kawan-kawan ini berjaya memenuhi kehendak rakyat pada masa mereka paling terdesak dalam krisis dunia paling teruk sejak 100 tahun dahulu?
“Asalkan jangan panggil saya Kit Siang sudah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Ahli Parlimen Pekan itu dipercayai merujuk kepada Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Perikatan Nasional, Datuk Seri Shahidan Kassim yang berkata Najib seolah-olah mengkhianati rakyat jika menolak Belanjawan 2021.
Shahidan ketika membahaskan RUU Perbekalan di parlimen semalam menyebut ada yang mengatakan satu atau dua ahli parlimen PN tidak akan menyokong Belanjawan 2021, dengan “syak wasangka” terhadap pemimpin veteran dalam gabungan itu.
Shahidan juga menegaskan semua ahli parlimen Perikatan Nasional dan BN akan mengundi secara ‘en bloc’ untuk Belanjawan 2021.
Reaksi itu menyusul selepas Najib berkata Barisan Nasional (BN) akan menyokong belanjawan yang dibentangkan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) jika bersetuju dengan beberapa syarat iaitu lanjutan moratorium pinjaman secara menyeluruh dan membenarkan pengeluaran wang berjumlah RM10,000 daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Kerajaan PN sebelum ini tidak menerima cadangan Umno dan pembangkang PH untuk melanjutkan skim moratorium pinjaman.
Sebaliknya Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz dalam pembentangan Belanjawan 2021 membenarkan golongan kategori B40 untuk memilih dari dua pilihan sekiranya mereka menghadapi masalah untuk membayar pinjaman.
Zafrul berkata golongan B40 boleh memilih moratorium tiga bulan atau mengurangkan pembayaran ansuran bulanan mereka sebanyak separuh selama enam bulan.
Kenyataan Najib hari ini terus menimbulkan tanda tanya mengenai jumlah undi ahli parlimen yang bakal menyokong Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat pada 26 November ini.