KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau memulangkan sebahagian wang yang didakwa diterima sebagai derma daripada Almarhum Raja Abdullah dari Arab Saudi, kerana Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada 2013 telah selesai.
Sebagai saksi pembelaan pertama, Najib menjelaskan bahawa pemulangan wang itu dilakukan untuk mengelakkan salah tafsir mengenai jumlah besar wang yang berada dalam akaun peribadinya.
Beliau berkata, surat telah dihantar kepada AmBank untuk menyatakan hasrat memulangkan baki US$620 juta yang tidak digunakan kepada Tanore Corporation Finance, syarikat yang memasukkan wang derma itu ke akaun AmIslamic miliknya yang berakhir dengan nombor 694.
“Ada dua sebab kenapa saya memulangkan wang tersebut. Pertama, kerana PRU13 sudah berakhir. Kedua, saya tidak mahu jumlah wang yang besar itu berada dalam akaun saya kerana ia boleh menimbulkan pelbagai tafsiran. Oleh itu, saya pulangkan kepada pihak yang memberi sumbangan tersebut.
“Saya menulis surat kepada AmBank mengenai perkara ini. Bagaimanapun, saya tidak memaklumkan secara langsung kepada Tanore, hanya melalui dokumen perbankan,” kata Najib.
Bekas perdana menteri itu berkata demikian ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar, semasa memberi keterangan membela diri berhubung pertuduhan menyeleweng RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ketika ditanya, Najib juga mengakui bahawa beliau tidak memaklumkan secara peribadi kepada Almarhum Raja Abdullah atau kerabat diraja Arab Saudi, Saud Abdulaziz bin Majid Al Saud, mengenai pemulangan wang tersebut.
Namun, Najib tidak bersetuju dengan cadangan Kamal Baharin bahawa beliau tidak berbuat demikian kerana mengetahui wang itu sebenarnya bukan daripada Raja Abdullah, tetapi hasil daripada dana 1MDB.
Dalam perbicaraan terdahulu, Najib mendakwa bahawa Raja Abdullah pada satu pertemuan pada tahun 2010 berjanji memberikan sokongan kewangan. Beliau juga mendakwa menerima empat surat derma Arab bertarikh antara 1 Februari 2011 hingga 1 Jun 2014 yang menjanjikan sumbangan bernilai US$100 juta, US$375 juta, US$800 juta, dan £50 juta.
Surat-surat itu dialamatkan ke kediamannya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur, menggunakan kepala surat dengan nama Saud Abdulaziz bin Majid Al Saud.
Dalam perbicaraan, Kamal Baharin turut menimbulkan isu percanggahan dalam keterangan Najib antara kes ini dan kes SRC International Sdn Bhd, khususnya mengenai peranan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho (Jho Low).
Kamal Baharin menegaskan bahawa dalam kes SRC, Najib memberi keterangan bahawa empat surat derma Arab diterima daripada Jho Low, yang memaklumkan bahawa Raja Abdullah akan memberikan sumbangan antara US$100 juta dan US$200 juta.
Namun, dalam perbicaraan ini, Najib menyatakan bahawa empat surat derma tersebut diterima melalui bekas Ketua Setiausaha Sulitnya, Allahyarham Datuk Azlin Alias, dan Jho Low memaklumkan Raja Abdullah akan memberikan sumbangan sebanyak US$1 bilion.
Kamal Baharin: “Saya katakan bahawa keterangan Datuk Seri dalam kes SRC berbeza dengan keterangan dalam kes ini.”
Najib: “Secara zahirnya memang ada perbezaan. Saya akan jelaskan semasa pemeriksaan semula oleh pasukan pembelaan.”
Pada 30 Oktober tahun lalu, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Najib untuk membela diri setelah pihak pendakwaan berjaya membuktikan wujudnya kes prima facie.
Najib menghadapi 25 pertuduhan, termasuk empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk mendapatkan RM2.3 bilion dana 1MDB sebagai rasuah, serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.
Perbicaraan bersambung.