Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menempelak menteri dan timbalan menteri UMNO yang mengambil sikap menutup mulut terhadap dasar kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwanya ‘tidak masuk akal’ sekiranya enggan melepaskan jawatan masing-masing.
Najib mempersoalkan mengapa kesemua mereka tidak menyuarakan ketidakpuasan hati sedangkan apa yang dilakukan Muhyiddin merugikan rakyat dan negara.
Tambahnya lagi, menteri dan timbalan menteri UMNO berhak bersuara meskipun Majlis Kerja Tertinggi UMNO belum lagi meletakkan tarikh rasmi penarikan diri dari kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Jika keputusan menteri Umno tidak letak jawatan adalah untuk bertanggungjawab kepada rakyat agar imej Umno tidak tercalar maka ada keperluan untuk mereka tidak lagi membisu apabila kerajaan membuat keputusan tak masuk akal yang jelas membelakangi atau merugikan rakyat,” katanya di Facebook.
Ahli Parlimen Pekan itu menyenaraikan beberapa keputusan kerajaan yang sepatutnya dipersoalkan menteri dan timbalan menteri UMNO; antaranya berkenaan keenggan mengadakan sidang Parlimen semasa tempoh darurat, penangguhan Undi-18, pembatalan projek Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura sehingga menyebabkan kerajaan perlu membayar pampasan sehingga RM320 juta dan ordinan mengejut yang mengenepikan kelulusan Parlimen berhubung perbelanjaan kerajaan.
Reaksi Najib merujuk kepada keengganan kesemua menteri dan timbalan menteri melepaskan jawatan masing-masing, termasuk kenyataan Muhyiddin semalam bahawa kesemua mereka kekal dalam portfolio masing-masing untuk melancarkan dasar kerajaan dalam membaik pulih negara dari pandemik COVID-19.
Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata menteri UMNO enggan melepaskan jawatan serta-merta kerana tidak mahu menjejaskan nama baik parti, selain masih banyak tugas dan tanggungjawab diamanahkan yang belum dilaksanakan sepenuhnya.
Beliau juga menjelaskan usul yang diluluskan dalam PAU2020 pada Ahad lalu juga tidak menyatakan menteri UMNO meletak jawatan serta-merta.