KUALA LUMPUR: Prosiding perbicaraan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib Razak ditangguhkan lebih awal hari ini selepas bekas Perdana Menteri itu mendapat pelepasan memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi di Masjid Negara hari ini.
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan bahawa bekas Perdana Menteri telah mengemukakan permohonan tersebut kepada Jabatan Penjara hari ini.
“Pihak penjara sedang menguruskan perjalanan Najib ke Masjid Negara. Kami memohon agar perbicaraan pagi ini ditangguhkan.
“Mohon Najib dibenarkan keluar dari Mahkamah Tinggi pukul 10.15 pagi,” ujarnya.
Sehubungan itu, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menangguhkan perbicaraan hingga esok, selepas pihak pendakwaan turut tidak membantah permohonan itu.
Muhammad Shafee turut memberitahu, anak guamnya memohon dibenarkan meninggalkan mahkamah lebih awal kerana solat jenazah akan diadakan selepas solat Zohor.
Najib dimaklumkan tiba di Masjid Negara sekitar jam 10.35 pagi tadi dan diiringi beberapa pegawat Jabatan Penjara Malaysia.
Terdahulu, mahkamah mendengar keterangan saksi pembelaan ke-19 (DW19), bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun pada perbicaraan tersebut.