Najib Layak Dapat ‘Global Pardon’, Rakyat Dahulu Hidup Bahagia Dengan Jasanya

KUALA LUMPUR: Kerajaan patut memberi ‘pengampunan global’ kepada Datuk Seri Najib Razak atas jasa dan sumbangan bekas perdana menteri kepada rakyat selama menerajui negara dahulu.

Seorang peguam, Datuk Kamarudin Ahmad juga memuji sikap kepimpinan Najib sepanjang menjadi Perdana Menteri dimana rakyat hidup bahagia sepanjang tempoh berkenaan.

Di sebalik usaha dan inisiatif Najib, pastinya pelbagai cabaran dihadapi oleh beliau dalam memastikan nasib rakyat terus terbela ketika pemerintahannya.

“Tolong ambil kira jasa-jasa Najib yang masih dinikmati ketika ini. Zaman Najib adalah zaman paling bahagia buat rakyat di negara ini. Ini bukan cakap saya tapi media dan pengguna laman sosial.

“Ketika zaman beliau, kita semua ada faktor feel good pada setiap masa. Ketika zaman beliau itulah kita ada BR1M, saya dengar sendiri beliau kata, mungkin akan dapat naikkan sehingga RM3,000 ketika itu.

“Kita juga ada banyak kemudahan lain seperti UTC, klinik 1Malaysia, MRT, Pan Borneo dan segala macam lagi. Saya mohon kepada semua pihak, tolonglah hentikan sikap hipokrit dengan menidakkan jasa beliau. Cukup-cukuplah jangan asyik cerita seolah-olah diri itu bersih dan Najib sahaja bersalah,” katanya ketika sesi townhall ‘Keadilan sebenarnya untuk siapa’ bersama peguam yang mengetuai kes-kes melibatkan Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah di sini semalam.

Kamarudin berharap bekas Presiden UMNO dan mantan Ahli Parlimen Pekan itu juga akan mendapat pengampunan secepat mungkin sekurang-kurangnya dengan mengambil kira jasa-jasa beliau.

“Saya minta sangat-sangat supaya Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan pemimpin tertinggi UMNO lain supaya tampil dengan memorandum desak Najib diberikan global pardon supaya Tan Sri Shafee juga tidak perlu bersusah-susah lagi,” ujarnya.

Dalam pada itu, Kamarudin mendedahkan dirinya pada awal tahun ini telah mengambil inisiatif pembebasan Najib dengan memberikan cadangan supaya adanya global pardon.

“Secara peribadi, Datuk Seri Najib kepada saya banyak sangat jasa dan sumbangan beliau sejak menjawat jawatan Perdana Menteri, antara yang penting paling saya ingat adalah ketika beliau memansuhkan Akta ISA. Bukankah itu hebat?

“Awal tahun ini juga saya memberi cadangan supaya Najib diberikan global pardon. Beliau diampunkan bermula dari tarikh beliau menyandang jawatan Perdana Menteri 2009 sehingga 2018 dirinya diberikan pengampunan atas segala perbuatan, perkara dilakukan dan tidak dilakukan olehnya.

“Saya cukup pelik sekali apabila pada 2018, mana ada pemimpin yang tidak melakukan salah guna dan rasuah tetapi hanya Najib sahaja single out dan mendakwanya. Jika kita comb (sikat) sepenuhnya, ramai lagi yang boleh didakwa, betul tak?” soalnya.

BBerkaitan

Latest articles