KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu dibebaskan sepenuhnya kerana perbicaraan yang dihadapinya kini disifatkan sebagai senget.
Itu tegas Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dalam satu hantaran terbaru di Facebook beliau, hari ini.
Malah bekas Ahli Parlimen Bachok itu juga mendakwa Najib tidak diberikan hak seadilnya untuk membela diri dengan sempurna.
“Saya ditanya, mengapa lama diam isu DSNR (Najib). Saya jawab kerana pendirian saya kekal sama atau mungkin tambah teguh.
“Ia perbicaraan ‘senget’. DSNR (Najib) tidak diberikan haknya untuk membela diri dengan sempurna.
“Saya tidak cadangkan beliau diberi tahanan rumah. Hak beliau adalah bebas sepenuhnya,” katanya di Facebook.
Menurut Nik Mohamad Abduh, bekas Ahli Parlimen Pekan itu juga berhak dibebaskan bukan kerana Najib terbukti tidak bersalah tetapi gagal dibuktikan bersalah.
“Pandangan saya, sebagaimana politik negara masih berlakon matang, mahkamah juga penuh lakonan,” dakwanya.
Najib ketika ini sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Titah adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 akan membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.