Najib Kekal Bersalah, Hukuman Penjara 12 Tahun

 

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kekal didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

Keputusan itu dibuat panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dan bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara memutuskan demikian selepas mendapati rayuan Ahli Parlimen Pekan itu tidak mempunyai merit.

Malah hukuman penjara 12 tahun dan denda berjumlah RM210 juta juga kekal dikenakan terhadap Najib atas alasan hukuman yang dikenakan adalah wajar dan bersesuaian.

Terdahulu, Najib dikenakan tujuh pertuduhan yang membabitkan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa melibatkan dana syarikat itu.

Dalam penghakiman yang dibacakan, mahkamah antara lain menyatakan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali adalah selamat dan tidak perlu diubah.

Peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sedang mengemukakan permohonan agar hukuman penjara dan denda tersebut ditangguhkan kerana mereka ingin mengemukakan rayuan.

BBerkaitan

Latest articles