KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meluahkan rasa kecewa terhadap prosiding kes berkaitan titah adendum yang telah mengambil masa lebih setahun lima bulan tanpa penyelesaian.
Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menjelaskan penangguhan ini menjejaskan keadilan buat Najib, yang sepatutnya kini sudah menjalani hukuman secara tahanan rumah berdasarkan titah yang dikatakan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 sejak Januari 2024.
“Anak guam kami amat kecewa kerana setelah lebih setahun empat bulan menunggu, prosiding ini sekali lagi ditangguhkan. Sedangkan kita tahu dengan jelas bahawa Yang di-Pertuan Agong ke-16 telah mengesahkan wujudnya adendum tersebut,” katanya pada sidang media di lobi Mahkamah Tinggi, hari ini.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan membenarkan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk membuat rayuan terhadap keputusan semakan kehakiman yang berpihak kepada Najib, sekali gus memanjangkan lagi tempoh prosiding.
Muhammad Shafee juga membangkitkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam dua ucapannya sebelum ini turut mengakui tentang kewujudan titah adendum tersebut, meskipun menyatakan bahawa dokumen itu kini berada dalam simpanan pihak lain.
“Memandangkan adendum itu memang wujud, saya dan klien saya tidak faham mengapa masih ada dolak-dalik berhubung kesahihannya. Ini seolah-olah menunjukkan wujudnya usaha untuk menyembunyikan sesuatu, dan perbuatan itu tidak sah dari segi undang-undang,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa pihaknya sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap beberapa individu yang didakwa terlibat dalam isu berkenaan.
Najib kini sedang menjalani hukuman penjara enam tahun di Penjara Kajang selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, dengan hukuman penjara asal 12 tahun telah dikurangkan oleh Lembaga Pengampunan.










